Sunday, August 26, 2007

Masin Air laut dan Masin Mulut...


Sudah hampir 15 tahun berlalu tapi kata -kata yang baik tinggalan seorang jemaah yang sama berada didalam khemah mu'asasah Mina ketika itu tetap segar dan menjadi ingatan ,semuga Rohnya haji Taib dirahmati Allah dan ditempatkan ditempat yang baik sebagai penduduk dalam syurga Allah .
Haji Taib berumur lebih kurang 80 tahun ketika aku bertemunya didalam khemah di Mina ,dia sedang terlantar berselimutkan kain putih pakaian ihram haji, menunggu waktu untuk melontar jumrah , dia demam tak dapat bangun walaupun beberapa kali dipanggil untuk melawat isterinya yang sedang dirawat dikemah yang berhampiran dengan nya .
Kesempatan berbual dan bertanya kabar dan memberi bantuan apa yang patut kepada orang tua yang sedang demam lebih bermakna disamping berasa kita adalah bersaudara disini dan di mana jua kita berada.
Haji Taib adalah pioneer atau orang yang awal menerokai dan membuka kawasan hutan yang tebal di Ulu Melaka Langkawi , segala kepayahan sebagai orang yang membuat kampung dialami Haji taib,menebang pokok sebesar pemeluk dan kayunya digunakan untuk mendirikan rumah sendiri, bergelut dengan babi hutan dan berbagai cabaran sebagai penerola dihadapi dengan tabah .Bila kawasan dah bersih dan cerah lalu ditanam kelapa,dan pokok yang sesuai untuk diujudkan perkampungan .
Tanaman kelapa adalah sumber rezeki yang utama selain pendapatan dari sumber yang lain untuk Haji Taib. Kebun kelapa yang diusahakan atas sebidang tanah pemberian kerajaan juga sudah berhasil, kelapa yang masak dan juga yang muda di jaja kesekitar kawasan berdekatan pantai Cenang dan lain tempat dengan basikal tuanya .
Disinilah aku mendapat pesanan dari Haji Taib ,lebih bernilai dari harga kelapa yang dijualnya setiap hari dan lebih nilai dari harga tanah yang diberikan kerajaan padanya.
Kita kalau berniaga pun tak semua yang dijual itu akan ditukar dengan duit,kadang kita akan hadapi pelanggan kita yang tak punya wang tapi teringin atau perlu pada barangan yang kita jaja, dalam kes ini pak Haji Taib berpesan beri keutamaan pada orang yang mengidam atau teringin sangat disebabkan mengandung atau sakit .Bagilah atau sedekahkan , dan ingatlah kudrat kita sebagai manusia nyok(kelapa) sebiji pun tak bolih buat. kita hanya tanam .
Lagi satu yang pak Aji Taib cerita adalah tentang pencuri yang sudah mencuri buah kelapa dikebunnya. Selama tiga kali pencuri ini mencuri kelapanya .Bukan saja dia mencuri kelapa tapi anak pokok kelapa yang baru dua tiga tahun mau hidup pun dicantasnya atau dimusnahkan.
Satu hari pak Aji Taib ke kebun kelapa dan dia bercakap sorang dalam kebun itu sambil menyebut " bukan saja Allah marahkan hang yang mencuri , pokok nyok yang baru nak hidup ini pun marah kat hang aku lagi laa.."
Malam yang ketiga pencuri itu hadapi nasib malang kelapa tak dapat maut yang datang .Pencuri terjatuh dari pokok kelapa , tersangkut pada pokok yang batangnya bertemu dan bernokhtahlah hidup si pencucri disitu juga dalam kegelapan malam.
Masin air laut bolih kita rasa masin mulut orang jadi penawar pada bisa...Allah sahajalah yang maha mengetahui.Semuga Rohnya Haji taib dirahmati Allah dan dikumpulkan bersama kalangan yang beriman . Amin..

Friday, August 24, 2007

Apabila Lidi-Lidi bersatu ,maka kuatlah Penyapu.


Pengorbanan pejuang kemerdekaan yang berhabisan harta dan tenaga dam usaha untuk memerdekakan negara wajarlah mendapat sanjungan dan penghargaan dari semua lapisan rakyat negara bertuah ini,yang tercatet namanya dan dikenali setiap kali namanya disebut dan tertulis dalam sejarah negara berbanggalah anak cucunya ketika ini kerana penghormatan yang wajar diberikan kepada setiap pejuang ,yang tak tercatet namanya pun seharusnya berbangga kerana kisah mereka dan ketokohan mereka masih lagi diingati dan dijulang namanya walaupun secara tau sama tau .
Bapa dan ibu kita yang jauh dikampung juga sepatutnya mendapat sanjungan dari anak cucunya walaupun perjuangan hanya sedikit dalam usaha membantu untuk mencari ahli dan menyumbangkan seutas emas atau berkayuh basikal dalam usaha mengumpulkan tangan yang menentang gagasan malayan union dan berpakat dalam sesuatu gerak dan tindakan yang bolih menyebabkan kemerdekaan tercapai patut juga disebut dan di sanjung sebagai pejuang yang berusaha diperingkat bawah ,tetapi mereka ini selalunya terasa malu kalau dia disebut pejuang.
Kesepakatan yang ditunjukkan olih pejuang diperingkat bawah adalah asas yang melonjakkan semangat dan kekuatan para pejuang yang berada dibarisan hadapan untuk merangka strategi dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Pejuang bawahan ini tidak dibawah kelas perjuangannya, merekalah yang menjadi asas kekuatan dan tunjang pada pertubuhan yang berjuang menuntut kemerdekaan .Selepas merdeka ada dikalangan mereka ini yang tidak segan silu mengikuti kelas dewasa yang bertujuan menghapuskan buta huruf ,mereka jugalah yang menjadi peneroka yang menerokai hutan belantara dimana tesergamnya felda dan felcra dan lain badan lagi yang berjuang tak henti-henti hinggalah mereka itu tiada lagi disisi anak dan cuccu yang sentiasa tersenyum dan menikmati hasil dari kemerdekaan .

Monday, August 20, 2007

Shouting Valley-Tanda perpisahan dan kenangan .



Peperangan 1967 meninggalakan kesan yang mendalam kepada penduduk Syria keseluruhanya, bukan sahaja Syria yang menghadapi dan menjadi sasaran Israel malah negara yang berdekatan atau jiran yang hampir dengan Syria menerima bahang. Apabila Syria terpaksa menyerahkan Bukit Golan kepada Israel, malunya bukan kepalang jiran yang berdiam diri dan negara yang dibawah belenggu dan telunjuk America yang kaya dengan hasil bumi tak dapat berbuat apa-apa ,kesatuan ummah yang dicanangkan berpecah rupanya, ketika sebuah negara sahabat terpaksa menghadapi perit dan getir dan kalah dalam peperangan yang sepatutnya menjadi musuh bersama .Percubaan Presiden Hafiz Al-Asad untuk megambil semula negara yang telah dijajah pada 1971 hanya mendapat sebahagian dari Bukit Golan . Tanah subur kini jatuh ketangan musuh rakyat terpaksa berpisah saudara terpaksa berpisah negara terbahagi.
Saya telah sempat singgah ketempat yang dipanggil dengan nama Shouting Valley ,di mana sempadan antara kedua negara ini dipisahkan dengan kawat sempadan yang mempunyai arus letrik .Sempadan ini direnggangkan jaraknya 1km dan masing-masing mempunyai keluasan jarak 500m sebagai no man's land .Disebelah Syria satu unjuran lapangan telah dibuat untuk memberi peluang kepada sanak saudara yang terpisah berintraksi.
kemudahan ini jarang digunakan setelah saudara yang terpisah ini sudah hilang keakraban ,mungkin telah bertukar jenerasi lalu keakraban antara yang terpisah ini menjadi longgar. Bayangkan lah kalau dulu dua beradik yang berdekatan dalam satu daerah ,tetapi bila daerah terbahagi dan dijajah lalu terpisahlah antara keduanya, mungkin keadaan ini akan berterusan sehinggalah Syria mendapat kemenangan dan wilayah ini dipulangkan semula kepada yang hak .
Bukan sahaja Israel menang dan mendapat wilayah baru ,Israel jugak meninggalkan
kekejaman yang takkan dilupakan untuk diingati penduduk yang sekarang ini berpindah dari wilayah subur dan mempunyai sumber air ini . Kesan tinggalan dari manusia biadab ini dapat dilihat hingga sekarang , rumah yang diruntuhkan bergelimpangan menyembah bumi ,apalagi masjid dan gereja yang sengaja diranapkan ditinggalkan dan sekarang ini telah dijadikan Muzium olih Syria.

Wednesday, August 15, 2007

Muzium Quneitra simbul kekejaman dan kesengsaraan .



Quneitra, Syria terletak bersempadan dengan Israel, Bukit Golan menjadi pemisah sejak tahun 1967. Lembah subur yang menjadi idaman Israel sekarang dibawah penguasaannya.Punca Air yang mengalir keSyria dan Jordan menyebabkan daerah ini di serang dan ditawan pada peperangan 1967, Israel begitu rakus sekali dalam usaha mereka untuk memiliki daerah subur ini , penduduknya di usir dari jumlah yang 24,000 orang yang menghuni daerah ini hanya tinggal 4,000 orang sahaja .
Pada 1971 presiden Syria cuba untuk mengambil kembali daerah ini tapi tak berjaya hanya sebahagian sahaja daerah ini dapat di kembalikan pada Syria sebahagian lagi menjadi milik Israel hingga sekarang.Kedegilan Israel untuk meninggalakn wilayah ini terbukti sehingga sekarang ,Jelas kesan peluru yang dilepaskan terhadap hospital ,masjid dan juga gereja menjadi bukti kekejaman yang dilakukan Israel sebelum mereka meninggalkan wilayah Quneitra ini setelah diarahkan PBB supaya meninggalkan wilayah ini dalam masa 10 hari. Dalam masa 10 hari inilah yang diambil Israel untuk memusnahkan segala bangunan yang ada samaada rumah kediaman atau masjid gereja dan hospital tidak lagi dihormati olih Israel yang kejam itu.
Sekarang Quneitra diistiharkan sebagai muzium olih Syria untuk mengingati peperangan dan kekejaman yang telah dilakukan olih tentera Israel . Setiap hari minggu kita akan dapati keluarga yang pernah bermastautin di kawasan ini yang juga pernah memiliki rumah dan sebagainya akan kembali kesini untuk mengenang kembali apa yang telah berlaku terhadap keluarga dan harta yang telah musnah dan mereka diusir dari tanah subur yang pernah dimiliki suatu waktu dahulu .

Saturday, August 11, 2007

Sejarah baru terukir ,perjuangan tak berakhir.



kegembiraan yang tergambar pada malam itu seolah kesengsaraan yang dibaluti dan perjuangan yang berjalan dan mengorbankan sekian nyawa telah terlupa dan tidak tertulis dalam sejarah membangkitkan martabat kaum kulit hitam selama ini .Mungkin mereka melupakan sejenak segala kesengsaraan yang lalu malam ini adalah untuk mereka melakar sejarah baru dalam perjuangan menolak Arphateid , mereka mungkin juga mau membuang jauh -jauh sejarah hitam yang menghantui kehidupan selama ini. Begitulah rancaknya tarian dan kegembiraan yang hadir untuk menyaksikan sejarah bakal tertulis sejarah kemenangan atas perjuangan mereka selama ini.
Bendera lama yang meriwayatkan penderitaan dan kesuraman kaum hitam akan digantikan . Bendera baru akan berkibar bersama semangat baru tepat jam 12 malam . ANC telah bergabung dengan beberapa partai lain untuk menubuhkan kerajaan yang akan memerentah seadilnya dalam mengembalikan maruah bangsa.Tetamu yang hadir tidak mahu melepaskan peluang menjadi saksi pada saat bersejarah ini . Ada hitam ,berwarna dan ada yang diantaranya berkulit putih pada malam yang dingin dan bersejarah ini. Tua muda semua berdansa beriramakan lagu kegembiraan .Lagu sendu dan riwayat kesengsaraan tenggelam .
Banyak derita kalau mau dicatat.Banyak kematian kalau mau dikira dalam usaha membangkitkan maruah dan perjuangan kaum hitam yang tertindas dan merempat di bumi sendiri . Tidak ada yang sedap dan manis dicatat dan didengarkan dalam harungan perjuangan memertabatkan bangsa hitam yang merempat dibumi sendiri ini . Tapi malam yang bahagia ini segala derita dikuburkan sejarah baru kehidupan yang akan dilalui selepas ini adalah satu lagi perjuangan yang tidak ada penghujung akan juga diharungi secara muafakat.

Sunday, August 5, 2007

Pejuang Tulin-Nelson Mandela.


April 1994 .Peluang tak datang selalu dan dengan begitu mudah, semasa bekerja saya telah berpeluang membuat liputan peralihan kuasa dari" Dasar Arphateid" yang diamalkan olih regim kulit putih yang memerintah Africa Selatan dibawah De Clark dan pemerintah sebelumnya yang telah menyebabkan kesengsaraan keperitan hidup warga peribumi berkulit hitam .Di sini kalau kita dilahirkan hitam maknanya hitamlah kita sepanjang hidup .Berbagai hak yang perlu untuk menjadi seorang manusia yang sempurna dinafikan dan diasingkan .Sistem dan tatacara dan budaya yang dimiliki akan dipisahkan dari amalan seharian dan kerana kulit hitam akan dihina sepanjang hidup .Sekolah diasingkan tidak bercampur antara kulit hitam dan kulit putih, Bas yang dinaiki untuk sesuatu perjalanan pun akan diasingkan malahan ada jalan tertentu tak bolih dilewati olih warga berkulit hitam . Tersisih segala amalan dalam budaya masyarakat berkulit hitam yang punya tatacara hidup sendiri ,dinafikan haknya malah tidak diiktiraf keujudannya,walaupun negeri adalah kepunyaan sendiri, hidup ditanah air sendiri cuma hak memerentah negara sendiri hilang dari mereka . Hidup dijajah olih bangsa kulit putih berkurun lamanya dengan memperaktikkan dasar yang dibenci dan dikutuk olih masyarakat seluruh dunia, namun tebal muka dan sifat tak tau malu bolih mengekalkan pemerintahan mereka hinggalah lahirnya pejuang-pejuang dikalangan bangsa berkulit hitam ini dan untuk mencapai kejayaan bukan senang dan mudah terpaksa mengorbankan beribu nyawa,mereka adalah pejuang -pejuang tulin yang lahir dari penindasan sekelumpuk manusia angkuh yang kelumpuknya kecil tapi berbisa kerana kesombongan yang dimiliki, mampu mencipta dan mengubah segala keharmonian dan susila bangsa setelah bangsa itu dibawah jajahan dan penguasaan mereka.
Nelson Mandela lahir dari keturunan yang dihormati dikalangan suku kaumnya, hidup susah ,terpisah sejak dari kecilnya, bernasib baik kerana mendapat pelajaran diperingkat awal hidupnya .Susah payah diawalan mengajarnya berjati diri dan kental dan lasak menghadapi tendang terajang dalam memperjuangkan nasib bangsanya.
Kerjaya peguam dipilihnya, mungkin disudut hatinya mahu membetulkan keadaan ketidak samaan yang membelenggu kehidupan dalam masyarakatnya ,beliau menubuhkan kumpulan penentangan yang dianggotai olih kawan-kawan yang sebaya dan juga dari kalangan yang senior darinya . Penentangan berupa tunjuk perasaan dan demonstrasi dianjurkan, berkali-kali sekiranya ada masaalah berbangkit . Ada diantara kawan yang berjuang bersama beliau gugur tewas dalam usaha mendaulatkan bangsa ini.Perkara ini adalah biasa dikalangan para pejuang yang berusaha untuk kepentingan dan maruah yang dituntut.
Semasa saya sampai disini untuk membuat liputan gambar bersama pemberita Ben yang juga berkulit hitam tapi nasibnya lebih baik kerana dilahirkan di Malaysia dan tidak diasingkan sepertimana orang yang berkulit hitam di Africa selatan ini ,Ben setiap kali mau keluar membuat liputan akan mengenakan topi yang mempunyai lambang Malaysia diatasnya . Maklumlah disini nampak tenang tetapi berbahaya , kerana banyak terdapat "snipers" atau penembak curi, yang sentiasa mencuri untuk menembak sesiapa sahaja yang dianggap musuh .Dikalangan partai yang mengambil bahagian dalam pilihan umum ini untuk menentukan kerajaan dan mengeluarkan Arphateid dari berkuasa banyak pendukungnya berpuak-puak mendukung partai yang tertentu ,kadang-kadang timbul perbalahan sama sendiri sehingga tembak menembak berlaku . Hari pertama mendaftar diri sebagai orang luar yang membuat liputan , ketika dalam teksi untuk balik kehotel saya telah di kejutkan dengan berita yang disampaikan ketika dalam perjalanan melalui radio, seorang jurugambar mati ditembak ketika membuat liputan tembak-menembak yang berlaku diantara pendokong Butholezi dan Inkhata , Jurugambar yang pernah memenangi anugerah pulitzer atas gambar yang telah dirakamkan beliau semasa aksi penentangaan yang diadakan sebelum pilahan raya yang diadakan berlaku dan beliau mati ketika saat kemuncak penentuan perjuangan dan peralihan yang akan berlaku selepas pilihanraya ini . Beliau pergi terlebih dahulu tak sempat menikmati kemenangan .Maaf saya terlupa namanya , Beliau adalah dari Akhbar the STAR. South Africa.
Gerun juga ketika berada dalam negara yang punya keadaan yang tidak menentu ini .
Pagi-pagi sudah ada berita bom sana -bom sini.
Berbalik kepada Mandela dan ketokohan yang dimiliki dan kekentalan perjuangan hingga menyebabkan beliau di perosok kedalam penjara selama 27 tahun dan bayangkan 27 tahun adalah satu masa yang terlalu lama pada manusia yang telah biasa dengan kehidupan bebas walaupun dalam belenggu penjajahan , namun demi perjuangan beliau tabah dan terima dengan redha.
Rasa beruntung dalam kerjaya yang singkat tapi padat dengan peristiwa yang diperlihatkan dan berpeluang secara dekat menemui para pejuang kental yang disanjung olih bangsanya dan dihormati olih sekelian bangsa bermaruah didunia yang sentiasa hidup berjuang menegakkan keadilan sejagat.
Saya berpeluang membuat liputan saat kemenangan ANC dan peralihan yang berlaku ketika bendera bertukar pada malam yang bersejarah dan melihat kegembiraan yang terpancar dari setiap wajah baik tua mau pun yang muda masing-masing berseri dan punya harga diri dinegeri sendiri.
Hampir ada ketikanya saya juga turut menghentakkan kaki menurut lagu dan irama yang di mainkan dimalam yang setiap orang tak kira hitam ,putih atau kulit berwarna punya maruah dan harga diri. Saya seronok dan berbangga dapat bersama bergembira dan tumpang sekaki.
Sambungan...

Saturday, August 4, 2007

melentur maruah di bumi merdeka.


Bukan senang nak senang walaupun dah kita menikmati kemerdekaan selama 50 tahun .Dalam waktu yang sama juga banyak orang yang telah mencapai kesenangan , ini bukan soal nasib tapi mungkin laluan yang dilalui dan peluang datang mudah difahami, dan dia rajin berusaha dengan ilmu yang ada berterusan usaha secara gigih lalu dia menikmati hasil dari titik peluhnya.Tak dinafikan ada yang berusaha tapi nasib dan peluang untuknya tak menyebelahi lalu gagal.mungkin ada silap sana sini, menyebabkan kegagalan.
Banyak tokoh perniagaan yang kaya raya tak punya pelajaran yang tinggi tapi bila dah kaya, dia punya kekayaan bolih membeli kebijaksanaan orang lain untuk bekerja dengannya dan sampai hari ini kekayaan yang dimiliki kekal dan bertambah . Tokoh perniagaan ini dulunya tak pernah lekang dengan seluar pendek biru berbaju senggelet putih atau senangnya baju panas putih cap "Pagoda".Tokoh ini mungkin tak pernah terfikir bahawa kekayaan yang dimiliki akan melimpah ruah, turun dari puncak bukit sampai keujung negeri luas dan besarnya perniagaan yang dijalankan ,bermula dari hanya membaiki basikal .Tokoh ini dan kawan yang sebaya dengannya masih lagi menarik nafas udara dari negara yang telah merdeka .
Ada dikalangan kita yang telah mencapai usia 50an , banyak kisah keperitan dan kesusahan yang ditanggung olih ibu-bapanya tak pernah hilang dari benaknya , dari anak nelayan ,anak petani , anak pesawah dan anak peniaga runcit semuanya meneruskan perjalanan hidup yang berbeza-beza. Segala kenangan manis ini akan bersemadi dalam ingatannya walaupun banyak kali dan berpura-pura mahu melupakan dan membuang jauh -jauh , sekiranya sekarang dia punya gedung besar dan berjawatan tinggi dan punya gelaran yang setimpal dengan kedudukannya.Ada juga yang mahu menyimpan sebagai kenagan manis bersama ayah ibunya disawah,dilaut dan ketika dikedai runcit yang mungkin telah bertukar menjadi gedung besar .
Lumrah , sifat azali manusia ada yang jatuh bangun dia belajar darinya , dan berusaha terus lalu kejayaan datang padanya dan dia menikmati kekayaan yang diberi sebagai usaha yang di berkati dan menikmati keindahan yang wajar ada pada seseorang yang bergelar orang kaya.Tak kurang juga ada dikalangan yang kaya raya ini tak pernah cukup apa yang didapati dan tak pernah bersyukur ,hak dia, dia punya ,hak orang pun dia punya .Bantai semua .
Negarawan yang terdahulu berjuang dan berusaha untuk memberi erti kemerdekaan yang sebenar untuk kita .Kitalah meneruskan pencapaian mereka supaya setiap rakyat yang mengghuni dan mengakui dan mempunyai hak sebagai rakyat walaupun tak punya seinci tanah pun yang menjadi haknya dibumi kita ,tapi haknya sebagai rakyat tetap dijaga dan terbela mengikut perlembagaan negara. Kita perlu berterima kasih pada negarawan yang telah pergi meninggalkan banyak jasa kepada kita , terutamanya dalam bidang pelajaran .
Saya masih ingat "Kelas Dewasa" yang diadakan disetiap kampung bertujuan untuk membasmi buta huruf dikalangan orang tua-tua nenek -nenek dan ada juga dikalangan bapa kita yang menghadiri kelas ini . Mereka tidak merasa janggal atau malu untuk mengikuti kelas ini kerana mereka mengakui kelemahan yang ada pada mereka ,walaupun berumur ,mereka tetap mahukan ilmu yang bolih mencelekkan mereka dari buta huruf dan tertinggal segalanya.
Waktu itu semua orang bersemangat untuk memajukan diri dan negara ,tak kira tua dan muda , banyak persatuan yang diujudkan untuk menaikkan taraf hidup rakyat yang tertinggal diperkampungan dan daerah yang terpencil, persatuan belia yang bergiat dengan berbagai jenis sukan seperti bola dan sepak takraw diberi bantuan baju , kasut dan sebagainya untuk meningkatkan lagi taraf permainan dan semangat bersukan .
Sekolah yang di luar bandar ada mempunyai kawasan yang luas dan kawasan ini digunakan untuk berkebun ,menanam sayur-sayuran dan pelajaran pertanian di pupuk semasa di sekolah rendah dan juga menengah .
Banyak kegiatan yang menarik minat setiap orang dan bertolongan diantara satu sama lain mungkin bolih di hidupkan kembali dikalangan belia yang ada supaya gejala sosial yang meruntuhkan dapat dikawal . Tak dinafikan bahan terlarang seperti ganja dan sebagainya bolih juga didapati dari dulu secara senyap diperkampungan nelayan dan daerah yang berdekatan dengan bandar ,malah harganya murah dan senang didapati .
Pelajaran adalah asas terpenting yang perlu diberikan kepada rakyat seluruhnya dalam membentuk arah dan pencapaian kemajuan sesebuah negara. tanpa pelajaran maka malang lah kehidupan yang bakal dijalani olih seseorang itu ,bertambah malang lagi kalau sekiranya ilmu itu dimiliki tapi tak diamalkannya. Ibaratnya besi yang padu kekuatannya tapi terbiar dan tak digunakan maka berkarat dan ditelan bumi akhirnya.