Monday, December 29, 2008

Prek Sandai dan Pengorbanan.














Kesempatan berhariraya korban di Prek Sandai buat kali kedua berada bersama dengan penduduknya begitu terasa, kemesraan yang ikhlas dari saudara seagama yang ,walaupun berada dalam serba kekurangan namun mereka tetap mesra dan ramah menyambut tamu .
Melihat keriangan anak kecil dan remaja yang sentiasa riang dengan pakaian serba baru berlari kesana kemari seolah mereka sudah tida apa yang dirisaukan tentang kehidupan yang dilalui.
Mungkin ibu-bapa mereka sahaja yang sentiasa mempersoalkan tentang pelajaran anak-anak dan perlakuan mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih dari kehidupan yang mereka alami sekarang ini. Hidup sebagai petani dan nelayan sungai Mekong yang tidak pernah menjanjikan keselesaan dan kesenangan buat mereka selama ini. Apakah anak-anak mereka akan meneruskan tradisi lapuk ,warisan generasi ini.
Setiap mereka di Prek Sandai dan di tempat lain di Kemboja ,Islam adalah agama yang dianuti berkurun lamanya .Pegangan mereka tetap kukuh seperti dulu, walaupun sentiasa dicabar dan bayangi olih berbagai peristiwa hitam yang mereka lalui .
Sejarah telah tertulis bahawa Prek Sandai dan kampung sekitarnya telah kehilangan ahli keluarga yang bergelar ulamak ustaz dan cerdik pandai dikalangan mereka . Lebih empat ratus orang dari mereka telah dibunuh secara kejam semasa Pol Pot memegang pemerintahan selama lebih dari tiga tahun.Mereka hidup dibawah ancaman , sembahyang tidak dibenarkan , mereka dipaksa makan bubur nasi yang bercampur daging babi sekurangnya seminggu sekali pada zaman itu.
Sekarang ini mereka berusaha sedaya upaya untuk memulihkan kekuatan yang telah lama meninggalkan mereka , mereka berhijrah keluar untuk mencari Ilmu dan rezeki dan balik ke tempat asal mereka mendirikan sekolah ,surau dan masjid ,menyebarkan Ilmu Islam secara kecil-kecilan .
Ada usaha mereka ini dibiayai olih penduduk tempatan ,namun berapalah sangat bantuan yang diterima . Ada dikalangan ustaz yang membuka sekolah ini terpaksa bekerja tanpa memikirkan soal gaji .Selepas mengajar mereka akan kesawah atau membuat kerja lain untuk menyara anak isteri .
Mungkin ada lagi cerita yang tak pernah diceritakan tapi tersimpan dalam catitan penduduknya yang sentiasa memberi senyuman ini.

Wednesday, December 17, 2008

Berkorban Di Prek sandai Kemboja.
















Rombongan dari SALAM dan MAYC Kedah berkampung di Prek Sandai sejak sebelum Aidil Adha .
Sukarelawan SALAM adalah terdiri dari anak muda yang bersemangat untuk berbakti dan mengenali Prek Sandai dan penduduknya dengan lebih dekat dan mereka telah menyediakan berbagai program untuk beramah mesra dengan penduduk tua atau muda .Walaupun dibatasi bahasa yang berbeza namun kemesraan yang ditunjukkan merapatkan jurang dan perbezaan yang ujud.
Pagi yang cerah di Prek Sandai semuanya bangun awal ,pertamanya disebabkan untuk tidak beratur menunggu giliran untuk ke bilik air,keduanya kerana mau cepat ke masjid yang tidak berapa jauh dari tempat menginap .
Laungan takbir penduduk dimasjid tua berdekatan sungai Mekong itu bergema memuliakan Hari Raya korban diperantauan untuk sukarelewan yang terpisah jauh dari merayakan bersama keluarga dikampung.Mungkin ada yang menahan kesayuan dihati .
Kebanyakkan penduduk disini hanya merayakan Aidiladha secara sederhana , tak banyak juadah yang sedia menanti tamu atau keluarga sendiri, tiada ketupat atau rendang seperti di tempat kita hanya kueh dan teh cina sahaja.
Upacara mengorbankan lembu dilakukan disurau Hj Seman yang terletak dihujung kampung.Hj Jammaludin sukarelawan SALAM melakukan sembelihan sehinngga selesai.Hj Fadilah membacakan nama-nama yang tersenarai sebagai penyumbang sebelum sembelihan dilakukan.Semuga segala sumabangan yang diterima diberkati dan diterima Allah.
Petangnya satu lagi surau Al-Muttaqin diresmikan dan satu generator telah dihadiahkan sebagai menerangi kesamaran yang selama ini hanya dibekalkan olih kuasa battery.
Hari berikutnya 9.Dec 08 kami ke satu lagi perkampungan yang agak jauh dari Prek Sandai . Jalan yang berlubang dan berkenderaan dengan 2 buah lori sebagai pengangkutan .Semua sukarelewan selamat sampai kedestinasi walaupun keadaan jalan yang berlubang disana sini.
Sembelihan dibuat dipersinggahan pertama dimasjid Tropiengbeng ,selepas lembu dikorbankan ,satu upacara pecah tanah dilakukan olih YB Radzi Salleh iaitu sebagai tanda memulakan projek perigi tiub untuk kemudahan air penduduk yang berdekatan .
Satu lagi surau adalah upacara terakhir pada hari itu , ramai penduduk sudah menunggu disurau kampung baru ini.
Hj Jamaludin melakukan sembelihan disini, Hj. Md.Nor yang telah yang telah berumur lapan puluh tahun ditugaskan sebagai ketua tukang masak kepada tukang-tukang masak yang dibawa khas dari Kedah untuk menyeliakan segala resepi masakan yang dimasak disini . Beliau walaupun berumur tapi masih gagah dalam bidang masakkan . Masak nasi berdaging dalam kawah seperti dibuat olih orang kampung ketika mengadakan kenduri kawin.
Kemeriahan suasana melakukan ibadah korban yang diamanahkan dan kesungguhan yang ditunjukkan olih para sukarelawan melebarkan sempadan Ukhwah sesama saudara Islam tak kira dimana berada tidak kira apa bahasa yang dituturkan tiada sempadan untuk beramah mesra .Ikatan persaudaran Islam akan kukuh sekiranya kita terus berusaha membantu meringankan beban yang ditanggung olih saudara Islam kita walau dimana mereka berada. Berat Sama dipikul Ringan Sama Dijinjing.Semuga Allah menerima segala pengurbanan kita .

Saturday, December 6, 2008

Yayasan Salam in Kampuchea.






Setelah merentasi perjalanan selama lebih kurang lima jam ,sampailah sukarelawan Salam ke tempat yang dituju iaitu perkampungan Prek Sandai.Prek bermakna sungai dan Sandai adalah nama yang diberikan kepada sejenis ikan yang terdapat di sungai mekong .
Kedinginan malamnya dan kekurangan air menyebabkan kebanyakkan kami hanya memberseh badan secara ala-kadar.Solat subuh dalam kesamaran cahaya lampu kalimatang bersumberkan battery begitu suram dan hening dengan beberapa jemaah yang ramah walaupun dalam serba kekurangan .Banyak surau terdapat di perkampungan ini ,jarak antara satu surau dengan surau yang lain hanya berselang dua tiga buah rumah sahaja.Tidaklah saya mengerti sebabnya .
Sebatang jalan tanah merah menjadi jalan utama menghubungkan kampung ini dengan pekan dan bandar berdekatan . Setiap kali kenderaan melalui diatasnya berterbanganlah debu merah meninggalkan kesan pada rumah dan penduduk yang berdekatan jalan utama ini.
Kebanyakan penduduk adalah menjadi petani atau nelayan .Padi adalah menjadi sumber pendapatan.Sungai Mekong juga menjadi sumber air minum dan penyumbang kepada keperluan seharian .
Pasar paginya akan diadakan diatas jalan kecil atau lorong berhampiran tebing sungai yang luas ini .Begitu juga penduduk yang menghuni dirumah-rumah yang bertiang tinggi atas tebingannya .Penduduk dipersekitaran Sungai Mekong inilah yang menghidup dan memeriahkan suasana pasar pagi yang menjual barangan keperluan harian penduduk setempat .
Ada juga dikalangan penduduk disini yang telah berhijrah keluar dari Prek Sandai untuk mencari rezeki dan mencari ilmu ,terutamanya ilmu ugama .
Sejarah hitam yang tercatit dan menjadi ingatan sepanjang hayat kepada mereka yang mengalaminya,kerana ada diantara mereka masih lagi bolih menceritakan peristiwa hitam semasa dibawah pemerintahan rejim Pol Pot.Memerintah dengan kejam ,membunuh rakyatnya sendiri .Mereka orang-orang Islam dilarang bersembahyang dan dipaksa memakan daging babi yang campur bersama bubur nasi sekurangnya sekali dalam seminggu , begitulah seperti yang telah diceritakan kepada saya olih Pak imam Ali semasa saya membonceng mootornya ke Masjid yang telah dibantu pembinaannya olih Yayasan Salam .Masih banyak lagi yang perlu dibantu untuk meningkatkan taraf hidup pendududk di Prek Sandai ini .
Sekiranya ada dikalangan kita yang ingin membantu hubungilah Yayasan Salam -03 79584021.Semuga dengan sedikit bantuan yang dihulurkan akan menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan mengiratkan hubungan persaudaraan.