Monday, December 31, 2007

Kenagan Lama budaya lama .Penutup tirai 2007.




Tak manis kalau segala yang pahit yang dilalui pada 2007 dibawa kedepan dan beriringan dengan tahun yang akan datang 2008. Kalau ada perancangan dan kekuatan baru mungkin tahun yang akan datang akan lebih baik dan segala dirancang InsyaAllah akan berjaya jika diizinkan .


Banyak catatan yang dilalui yang hanya mau ditulis dalam dairi sendiri dan tak perlu di ketahui umum, murung dan muram tahun 2007 adalah rekod yang tercatat dan tak perlu di hebah hebuhkan biarlah dia akan disimpan sebagai kenangan dan iktibar , untuk dijadikan panduan masa yang akan dilalui selagi hayat dikandung badan . Ada yang baik pun kita tak perlu nak berlebih bangga dengannya sekadar bersyukur dan berterima kasih diatas pemberian , mungkin juga yang tercatat dianggap hitam itupun ada hikmahnya yang kita tak mengetahui .


Untuk menutup yang muram dan suram janganlah kita hiaskan atau menutupnya dengan kain yang berbagai corak supaya ianya kelihatan cantik menarik tapi kita sebenarnya menipu diri , cuma tak perlu orang lain tahu kita dan Allah saja yang tahu , dan kita belajar dan kesalahan lampau supaya tahun mendatang kita lebih berwaspada dalam apa jua perkara yang kita akan


buat atau tempuhi .Semuga kita tak buta dalam celik dan terhimpit dalam kelapangan .


Penutup tirai tahun 2007 ini saya teringat akan kenangan yang masih lagi tersimpan bersama bukti yang cantik menarik , teringat saya akan arwah Sutan Sharil Lembang yang banyak mengajar saya tentang penulisan dan Kak Siti Bidayah , Yusuf manaf dan yang paling dihormati Pak samad, dan juga Pak Samad Said. Walaupun sepatah dua teguran dan ilmu yang diturunkan namun seperti emas harganya pada saya yang kerdil yang banyak masa dihabiskan pada kerja photography dan bukanlah menulis secara sepenuh masa, cuma kalau ada masa terluang dan peluang maka saya akan mencoret sesuatu yang tak sepatutnya saya simpan dan


dibiarkan beku dalam kepala walaupun tak berapa sangat kebolehan saya dalam bidang penulisan ini .


Antara kerja yang dibuat merakamkan kecantikan dan keindahan budaya saya juga meluahkan melalui penulisan yang pendek , antaranya saksikanlah apa yang telah saya simpan sekian lama dan lihatlah setelah dibetulkan dengan segala kemudahan teknologi yang saya tahu waktu ini .


Semuga akan menjadi sumber kekuatan dan ingatan kita waktu muda kita juga punya budaya yang telah diasuh sekian lama sejak dulu kala .

Sunday, December 30, 2007

Hemah dalam dagang .


Esok malam 2007 akan menutup tirainya. Tinggallah segala yang akan menjadi kenangan
untuk diingati atau untuk terus menjadi luka yang belum tentu akan sembuh dengan mudah .
Kenangan yang manis pasti sukar kita melupakan ,melainkan nyanyuk yang mengganggu fikiran , kejayaan sesuatu akan menjadi ingatan sepanjang hidup.Kegagalan akan menjadi luka yang sukar sembuh tak mudah untuk kita melupakan.
Gagal dalam sesuatu perkara bukannya berarti kita telah menutup segala ajakan atau tawaran yang dianjurkan, cuma kita akan lebih berhati-hati supaya persediaan yang lebih rapi harus dibuat ubtuk menghadapi segala kemungkinan , tapi harus juga diingat sukar kita mengesan tipu daya dari kawan yang telah sedia berhajat dan menyusun strategi dan mengkaji kelemahan dan kekuatan kita terlebih dulu .
Salahnya kita juga dalam berhati dan rapi ,ada waktunya kita alpa, masa inilah yang kita tergelincir dan terhantuk dan ada yang akan terus terjerumus kedalam jerat yang sedia menanti disediakan olih kawan ,Bukan orang lain kawan yang selalu minum dan makan bersama malah ada yang lebih rapat lagi dari makan dan minum bersama .

Niat kawan terhadap kita sukar kita membacanya , selalunya kita terlalu percaya dan berharap bahawa kawan akan jujur, namun sebaliknya yang kita dapati dari kejujuran dan keikhlasan yang hanya dibibir tak sedikit pun bertapak di hati .
Banyak kawan berpatah arang setelah terjadi perselisihan dalam sesuatu pakatan atau kongsi , contohnya dalam perniagaan . Kecil atau besar perniagaan bukanlah ukuran tapi kalau tak ada kejujuran dan keikhlasan dalam perkongsiaan maka akan berpecahlah diantara kawan .
Dalam perniagaan perlu banyak kesabaran dalam berkawan ,Keikhlasan kejujuran dan ketelusan selain dari perjanjian yang bertulis sebagai pegangan banyak lain perkara yang perlu disediakan untuk menjayakan dan menguatkan perniagaan dan persahabatan ,dan perjanjian yang dibuat itu biarlah pecah kongsi atau pakatan namun perniagaan tetap di teruskan , bak kata orang Lembu di pegang pada tali , manusia dipegang pada janji .
Banyak perkara lagi yang bolih kita kumpulkan untuk di renung dan muhasabahkan mungkin cukup dulu sebagi catatan , mungkin lain catetan akan dimuatkan perkara yang selalu menjadi jatuh bangun dalam perniagaan dan ada yang berniaga atas angin
kongsi tak pecah perniagaan berwadah ,,, ...

Friday, December 28, 2007

Falkland .Tenang dan Sunyi,kenangan bersama Azhar.











Rombongan Media yang dihantar kerajaan Malaysia bersama dalam penerbangan TUDM bertujuan untuk mengantarkan Tiang Layar yang baru untuk menggantikan tiang layar yang telah patah di pukul ribut pelayaran jalur gemilang olih Azhar Mansur. Falkland. Setelah lima hari penerbangan yang berhenti untuk mengisi minyak selepas 7 tujuh jam atau sembilan jam pernerbangan .Pesawat C 130 ini akan singgah ketempat yang telah di tetapkan. Di Bribane Australia, kami berhenti dan bermalam kerana esoknya tiang layar akan dimuatkan ke dalam pesawat untuk dihantarkan ke Falkland.Semasa berhenti inilah kami berpeluang melawat dan berjalan-jalan sekitar bandar atau kawasan airport yang disinggahi . Peluang ini digunakan sepenuhnya olih kami untuk merakam gambar dan melihat tempat yang berdekatan dan tidak melebihi masa yang dibenarkan .




Kesempatan ini memberi peluang pada saya untuk merakamkan gambar sebanyak mungkin , bukan senang untuk mendapatkan peluang seperti ini . Kalau mau pergi sendiri mungkin tak akan sampai kenegara yang kecil di kepulauan Pasifik ini .




Azhar memulakan pelayaran solonya dari Langkawi Porto Malai, menghadapi kesukaran setelah hampir sebulan meredah lautan . Jalur Gemilang di pukul ribut , tiang layarnya telah patah tiga dan dia terpaksa memotongnya untuk meneruskan pelayaran kerana tiang yang patah itu berada dibawah perut Jalur Gemilang ini membahayakan dan menyekat kelancaran dan pergerakan pelayaran. Dalam hujan ribut yang kuat itu Azhar berjaya memotong untuk meneruskan pelayaran, dengan menggunakan layar yang ada walaupun pendek, kerana itu saja yang tinggal, beliau menggunakan engine yang sememangnya dibekalkan untuk diguna ketika menghadapi kesukaran . Dengan engine yang rendah kuasa kuda itulah Azhar berjaya sampai ke Falkland dan menunggu gantian dari pembekal .




Falkland tak ramai penduduknya ketika itu dalam tahun 1998 bulan Mei saya dapat tahu penduduknya hanyalah dalam lengkungan dua ribu orang sahaja . Perhubungan antara penduduk juga begitu rapat kerana bandar kecil yang sunyi ini hanya mempunyai satu pelabuhan ,airport dan pusat pentadbiran yang cukup untuk menguruskan penduduk yang hanya dua ribu ,selain dari kawasan ternakannya yang luas mata memandang, banyak ternakan dari bilangan manusia pengghuninya .




Falkland terkenal kerana sejarah peperangan yang berlaku antara Argentina yang mengakui menjadi haknya da British yang bertapak dan menjajah kepulauanya . Peperangan yang berlaku sekitar tahun 1980-an ini menyebabkan setengah kawasan tak bolih dijejaki kerana masih ada periuk api yang masih aktif.Terutamnya di Kawasan berhampiran pelabuhan Stanley .




Jalan yang kecil dan penduduknya yang banyak tinggal dikawasan berhampiran pelabuhan , keadaannya yang sunyi dan jam empat petang sudah pun gelap semuanya , penduduknya akan mengisi masa malam yang panjang di-pub atau tempat hiburan yang terdapat dihotel-hotel yang mengisi keperluan pelancung yang suka pada kesunyian dan peniaga yang berurusan dagang dengan bandar pinggiran hemispira selatan ini .Kesejukkan, dan burung-burung yang tak bolih di ganggu ini bebas beterbangan digigi airnya serta kapal -kapal yang masih tersadai di pelabuhannya dan tak lupa pada keramahan pendudukyang kecil bilangan dari ternakan ,semuanya akan terpahat bersama peluang menemui Azhar yang telah sekian lama tersadai dan sebelum pulang kami sempat menolong menaikkan tiang layar Jalur Gemilang bersama dengan Anggota TUDM yang di ketuai Saudara Nazri Maaf pangkat terlupa ..dan lain anggota yang masih dingati seperti sdr Saad, Mustafa. Capt Zakaria, Sdr Effendi Dan Major Omar ketika itu Dan Major Roslan yang semasa itu berpengkalan di Labuan . Semuga semuanya sihat dan tak lupakan kenangan yang pernah kita lalui terbang bersama menggelilingi dunia bersama pesawat C130 TUDM catetan yang tidak digembar gemburkan bersama Catitan yang Azhar , mengharungi laut Selatan selama lebih kurang lapan bulan tapi TUDM membuat catitan senyap selama 18 hari .

Saturday, December 22, 2007

Kecekalan .Azhar Mansur mencapai impian dan kegemilangan .


Kecekalan mengharungi lautan luas ,menghadapi ribut dan taufan, ombak besar dan kesunyian malam sambil meredah kegelapan selama beberapa bulan untuk menggemilangkan nama dan mengangkat darjat ilmu pelayaran dikalangan anak muda bukanlah perkara yang mudah untuk dicapai melainkan disertai keberanian dan kesungguhan yang jitu.

Bukan senang pula nak menjayakan sesuatu projek .Mesti punyai kelengkapan dari berbagai sudut ,antaranya yang penting ialah ilmu pengetahuan tentang sesuatu bidang atau perkara yang nak di ceburi, kalau sudah ada ilmu yang lain perlu diusahakan sebagai pelengkap misalnya keewangan yang mencukupi untuk memulakannya seperti membeli alat-alat yang diperlukan ,bukan mudah juga kalau sekiranya projek itu melibatkan nama negara .

Contohnya apa yang telah berlaku keatas saudara Azhar Mansur yang begitu susah untuk memulakan projek jalur gemilangnya pada tahun 1998. Ketika ini juga negara sedang menghadapi kerisis keewangan yang dahsyat . Banyak kali projek ini ditangguhkan .Berbagai cara telah digunakan untuk mendapatkan pembiayaan dan sokongan namun sambutannya tidaklah begitu menggalakkan pada permulaan projek ini sehinggalah ada campur tangan dari Dr. Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu.

The New Straits Time ketika itu dibawah Kadir Jasin berusaha mengadakan berbagai promosi untuk mendapatkan penajaan , tapi sambutannya terlalu dingin , yang saya ingat hanya sekadar 50,000 Rm sahaja itupun dari satu sumbangan yang diberikan olih PLUS.

Satu ketika Azhar dah hampir kecewa dengan sambutan yang diberikan keatas projek Jalur Gemilang ini . Sehinggalah dia muncul dengan pembiayaan dari satu Konsortium yang sanggup membiayai projeknya .

Bermula dari sinilah Azhar melengkapkan segala yang diperlukan untuk mencapai niat dan hajatnya untuk menaikkan nama negara bersandarkan semangat Malaysia bolih .

Azhar memulakan perjalanan pelayaran solonya dari Porto Malai Langkawi mengikuti laluan selatan . Akan di sambung...

Wednesday, December 19, 2007

Imbauan kenangan... di pagi penuh kemuliaan .


Hari yang mulia ni dimana jemaah sedang sibuk menunaikan ibadah haji di Makkah. Aku sendirian dirumah , tempat aku menumpang hidup bersama keluarga , berbagai perkara yang timbul dalam keseorangan begini , poket pun tak sangat berisi , di pagi mulia ini , Teringat kawasan peperangan yang telah aku lewati di Iraq, dan pagi ini aku telah mengirimkan sms pada kawan yang telah lama aku kenali dan dia telah lama berada di Malaysia ini dah ada anak empat atau liama setelah berkawin dengan perempuan kelantan . sejak meninggalkan negaranya baru dua kali sahaja dia balik kenegeranya untuk menemui ibunya yang telah tua dan uzur . tinggal di sekitar Baghdad.

Aku juga teringatkan Yasmin yang pernah datang kesini untuk mendapatkan rawatan perubatan keatas kakinya yang telah putus keduanya , dulu semasa dia berada disini umurnya dah sembilan tahun sekarang dah mungkin 13 tahun , bagaimanakah rupa parasnya ketika ini dan aku juga telah dapat berita melalui seorang kawan bahawa bapa Yasmin telah tiada lagi didunia ini. Haji Waadi telah lama tiada dan Yasmin mungkin tinggal bersama saudara lelakinya yang masih hidup dan juga ibunya yang sudah tua . Abangnya yang sulung telah terkorban ketika serangan besar-besaran yang dilakukan olih Amerika diawal penaklukkan keatas Iraq dalam tahun 2003.

Semuanya aku terbayang di pagi mulia ini , Aku terbayang tentang Yasmin yang berjalan kesana kemari menggunakan kaki palsu, apakah kaki palsunya masih bolih digunakan setelah tiga emapt tahun berlalu . Apakah dia telah menukarkan di baghdad atau dia masih menunggu kaki palsu yang baru dari sini, atau dia mau datang kesini untuk sementara ,ketika Iraq masih lagi dalam huru-hara.

Aku tak tau kenapa pagi ini aku teringat banyak perkara yang menjadi sejarah hidup yang tertulis diminda yang kadang- kala luput dari fakta kukuh yang sepatutnya menjadi segar dalam ingatan .

Mungkin aku takkan lupakan peristiwa 12 April 2003 , aku dan rombongan di serang ketika berada di At-Taura tidak jauh dari Baghdad, selepas menyampaikan ubat-ubatan ke hospital Al-Qudsiah . Disini juga aku berdoa semuga Roh saudara ku yang memandu pada pagi itu di rahmati Allah yang maha pengasih , Aku lupa namanya, dia meninggalkan anak lima bersama isteri di Syria. Semuga kembalinya kerahmatullah sebagai syuhadah .

Banyak lagi yang aku kenangkan dalam menghayati pagi indah ini dan banyak korban yang dilakukan olih gulungan yang berada dan mampu dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin ,Alhamdulillah ketika aku termangu dengan berbagai kenangan ini aku masih ada kawan yang masih mengingati ketika susah dan gundah ini , dan anak yang sudi membantu . Alhamdulillah syukur aku pada Allah yang mencipta hambanya dan mengutip pengalaman dari berbagai sudut kehidupan dan lewati dengan berbagai dugaan untuk menguji keimanan. Semuga aku Tabah dalam pasrah .

Sunday, December 16, 2007

Sengsara Aceh..menangis merintih..







Bermacam cerita yang didengar sewaktu Tsunami berlaku,Semuanya sedih dan menyayat hati, Lampoh ok satu kawasan yang berhampiran dengan laut punya satu penempatan tentera ,satu padang golf dan tempat peranginan yang cantik semuanya musnah ,ketika saya melalui kawasan tersebut sempat saya melihat tangga rumah yang masih lagi tinggal sebagai tanda penempatan yang diduduki tentera itu pun berdasarkan cebisan pakaian seragam yang masih terdampar dalam kawasannya. Semuanya telah musnah ditelan Tsunami , dan disini juga saya mendengar satu cerrita yang mengesahkan bayi bersama buaian tersangkut diatas pokok yang agak 30 meter tingginya dan bayi diselamatkan setelah berlalunya Tsunami .Bapa kehilangan anak isteri dan suami kehilangan isteri dan anak-anak, dan ada yang habis semuanya . Banyak cerita yang didengar semuanya tinggal sebagai satu catatan ,tsunami mengangkut semuanya harta nyawa dan apa yang ada, yang tinggal hanyalah sebagai kenangan yang tak akan dilupakan .



Banda Aceh setiap sudut dan lorongnya dipenuhi lumpur hitam .Barangan niaga semuanya rosak . Ada kapal ikan terdampar di tengah jalanraya berhampiran dengan sebuah hotel .Bayangkan berapa jauh kapal itu dihanyutkan dari laut dan berapa tinggi air yang menghanyutkanya kerana tak terdapat satu kerosakan pun pada bangunan yang berhampiran tempat terdamparnya .



Masjid Baiturrahman di Banda Aceh menjadi tumpuan pada hari raya korban january 05, masjid ini tak mengalami kerosakkan .



Masih saya ingat Jalan yang menghala ke Krueng Raya , kiri kanannya masih lagi di tenggelami air dan tak ada bangunan yang tegak disini semuanya rebah kecuali sebahagian masjid di tepi jalan .Banyak sekatan jalan diadakan olih penduduk yang masih tinggal dengan menadah periok untuk mendapat simpati orang ramai yang lalu lalang .



Tiga tahun telah berlalu banyak perkara yang telah dilupakan dan tak dimuatkan dalam tulisan ,namun kita tetap menerima Qada dan Kadar dari Allah sebagai ujian . Allah maha mengetahui atas apa yang diturunkannya .

Saturday, December 15, 2007

Aceh Musnah di bantai Tsunami.




18 January 05. Aku dan beberapa orang kawan bertolak dari pengkalan udara Subang menumpang pesawat dari luar negeri yang ditugaskan untuk memberi bantuan ke Aceh tapi berpengkalan di Subang .


Dari udara sudah dapat dilihat kemusnahan yang berlaku akibat dari Tsunami yang melanda kawasan pantainya hinggalah kekaki bukit, Semua yang dilihat dari udara sudah tiada apa yang tinggal , padang lapang dan lumpur dan apabila menghampiri pengkalan iskandar muda Banda Aceh dapat lah dilihat secara jelas rangka-rangka yang tinggal dan lumpur hitam yang melitupi sebahagian kawasan pantainya.


Semua orang berasakan di Iskandar Muda lapangan kecil yang terpaksa memuatkan segala jenis pesawat yang sentiasa sibuk naik turun , orang ramai pun berasakkan , tiada ruang untuk bersantai atau merehatkan diri semuanya sibuk dan sebahagian yang lain di lapangan Iskandar Muda ini digunakan sebagai tempat simpanan barangan yang dihantar untuk dibahagikan kepada mangsa yang masih hidup dan terputus hubungan . Bantuan kebanyakannya dilaksanakan melalui udara. Banyak jalan yang menjadi penghubung kependalaman terputus dan ada juga yang di hantar melalui sampan besar atau boat yang berdaya mengharungi ombak kuat .


Dari Iskandar muda kami bertolak ke daerah gurchil satu penempatan yang selamat dan agak jauh dari banda Aceh .Gurchil lah tempat kami beroperasi menghantar bantuan ke daerah lain .


Setiap hari kami akan melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa yang masih tinggal dan berlindung ditempatan sementara yang didirikan kebanyakannya dikawasan masjid dan tempat lapang yang memudahkan segala bantuan di sampaikan , Waktu ini semua pekerja bantuan masih lagi mengguinakan penutup hidung yang mencegah bau busuk yang datang menusuk kehidung , maklumlah baru beberapa hari sahaja dari tarikh kejadian, jadi ada yang masih lagi tertimbus dalam longgokan sampah yang merata ditepi jalan dan juga bersepah masih menunggui untuk di pungut dan dibersehkan ....Sambungan ..

Thursday, December 13, 2007

Tsunami, kesedaran dan Kesengsaraan .




Pagi itu, terkejut aku apabila melihat hala matahari jatuh atau sebelah barat dikaki langitnya awan yang menutupi langitnya kemerahan seperti waktu senja merahnya.Waktunya sudah melepasi subuh tapi mengapa warna kemerahannya belum lagi bertukar , aku suruh anak saudara ku untuk melihatnya betul-betul ,mungkin aku tersilap atau matahari sudah pun bertukar arah naiknya.Pagi 26 dec 04 satu tarikh yang akan diingati sepanjang hayat , aku melihat kemerahan warna langit yang begitu ketara dari hari -hari yang lainnya warna selepas waktu subuh yang selalunya hening dan pudar tapi hari itu menyebabkan aku tertanya-tanya.Petang itu aku telah berada di komplek beli -belah Padang Besar , Perlis dan aku mendapat kabar beberapa tempat telah dilanda Tsunami hingga menyebabkan kematian yang banyak .


Pulau peranginan di selatan thai , Pulau Pinang, dan Sumatera dan beberapa tempat lagi telah dikabarkan kerosakkan dan kematian yang banyak . Air laut yang setinggi 3 kali pohon kelapa telah menghempaskan kekuatanya di sekitar Aceh dan kepulauan lain banyak kerosakan berlaku dan bergelimpangan mayat yang hanyut dibawa arus seperti mana yang disiarkan di kaca Tv berita dari segenap tempat kejadian dilapurkan . Bersambung.....

Friday, December 7, 2007

Musim sejuk yang mencengkam ...Balakot, Bissian ..




Bissian,daerah yang berhampiran dengan Balakot yang menggemparkan dunia dengan jumlah kematian yang amat besar berikutan terjadinya gempa di pagi 10 oktober 05. Beribu yang menjadi mangsa tenggelam bersama bangunan yang rapuh berserta isinya hancur dan berselerakan di muka bumi Balakot.


selepas kejadian yang menggemparkan itu saya dan rombongan yang disertai 2 orang doktor telah di beri peluang untuk bersama anak yatim yang tinggal di sebuah asrama yang disewa olih satu badan NGO , kedatangan kami kesana bertujuan untuk menyelaraskan anak- yatim yang tinggal di asrama dan juga memberi bantuan perubatan kepada penduduk sekitar.


Kawasan lembah Khaghan ini sungguh cantik ketika musim dingin , kesejukkannya juga amat ketara -5 darjah waktu paginya, menyebabkan pintu pun sentiasa tertutup rapat terlalu sejuk pada kita yang sekali-sekali mengharungi musim sejuk yang melampau.Biasa sahaja kalau tiga hari tak mandi, kalau nak mandi misti ada air panas yang dicampurkan dengan air sejuk . Kalau tak ada tak mandilah kita , musim ini juga bekalan letrik sentiasa terputus kadang heater yang ada terpaksa mengunakan generator, untuk memanaskan badan . selain itu heater yang dibakar dengan gas juga bolih digunakan tapi pada yang termampu kerana , kuantiti gas yang digunakan adalah besar dan jauh pula untuk mendapatkannya. Sengsara kalau tidak ada bekalan yang mencukupi di musim ini .


Dalam bulan Dicember ini keadaan yang sama akan berlaku dan sekali sekala saya terkenangkan keadaan dan kesusahan yang akan dihadapi olih anak-yatim yang perlu kepada bantuan dan ehsan dari semua pihak ini. Sekarang mereka tidak di Bissian lagi , mereka telah dipindahkan ke kawasan penempatan baru di Mansehra , Tapi tak jauh bezanya kerana Mansehra hanya 30 km dari Bissian . Kalau tinggal di asrama mungkin selesa walau sedikit sengsara,bagaimana yang masih tinggal di khemah-khemah yang terdapat sebagai tempat tinggal sementara bantuan seterusnya adalah sangat diperlukan ....Bantulah mereka yang sangat memerlukan bantuan untuk meringankan beban ini bukan sahaja dari kesejukkan , bayangkanlah anak-anak kecil yang masih di buaian ....

Tuesday, December 4, 2007

Khatmandu,Nepal.


Negara kecil yang terpencil dikaki gunung yang tertinggi di dunia menjadi tumpuan pelancung yang gagah dan ingin menjejakkan kakinya dipuncak Everest, sebagai satu tanda yang agung dalam kehidupan yang singkat ini. Banyak orang yang telah sampai kekemuncaknya sebagai tanda pencapaiannya dan kejayaan yang agung dalam hidupnya. Beberapa nama disebut sebut, namun yang menjejakkan kaki dan nama yang selalu tertinggal dari sebutan umum adalah penunjuk jalan atau guides yang selalunya berulang -ulang mencipta kejayaan sesama mereka sambil membawa barangan pendaki yang mengupah mereka dan ada diantaranya sama-sama mencapai kejayaan bersama orang yang dibawanya.

Negara pergunungan ini jauh ketinggalan disegi ekonomi dan melalui proses pembangunan yang sangat perlahan . Mundur dan tertinggal.Sektor pelancunganlah yang menyebabkan lnjakan pada pembangunan negeri yang miskin ini .

Kesempatan yang diberikan pada tahun 1998 , semasa saya masih lagi bekerja dengan New Straits times ,dapatlah saya berkunjung dan menjelajahi Nepal secara ringkas .Kesempatan itu digunakan sepenuhnya walaupun dalam kesejukkan kerana musim sejuk waktu itu dan dalam berpuasa Ramadhan .

Saya bermotorsikal bersama kawan untuk mendapatkan seberapa banyak gambaran Nepal melalui lensa camera yang saya bawa.Kami ke Pokhara satu kawasan pergunungan yang apabila matahari petang kemerahan akan juga dilihat lontaran cahaya kemerahan dikemuncak nya yang yang bersalji akan bewarna kemerahan . Nasib tak menyebelahi saya , sampai disana masih jauh lagi perjalanan , matahari terbenam dulu dari kedatangan saya .

Sepanjang perjalanan ,sungguh cantik saya lihat kawasan perkampungan yang dipenuhi berbagai tanaman dan perusahan tradisi yang menjadi nadi ekonomi kepada penduduk luar bandar.

Thursday, November 29, 2007

Salak Jogja. Enak dan Segar.


Salak madu, lembut dan manis isinya , agak sederhana besar buahnya,enak dan memang manis rasanya, kalau kita bandingkan dengan rasa salak yang terdapat ditempat kita .Salak yang terdapat ditempat kita hanyalah ditanam secara rambang dan tidak dihasratkan untuk perniagaan .Jadi tanamannya tidak dibuat secara besar-besaran cuma individu yang teringinkan Salak saja yang menanam untuk makan sendiri dan dibuat jualan secara kecilan .

Tahun 06 oktober saya berkesempatan melawat perkebunan salak yang terdapat di Jogjakarta . walaupun kebun salak jauh di perkampungan namun kesuburan tanah yang bercampur hasilan dari muntahan gunung berapi ,mungkin menyebabkan buahnya yang sederhana besar dan enak itu dijual ditepi jalan sekitar perkampungan salak yang rimbun dan menghijau dilihat dari jauh .

Di sini salak ditanam secara meluas dilereng yang mungkin dulunya di tanam dengan padi . Jarak antara pokok ke pokok juga terlalu dekat diatas batas yang telah disediakan , tingginya lebih kurang semeter lebih kurang , kesuburan tanah disini menghasilkan salak yang bolih dieksportkan ke Malaysia dan juga ke tempat lain .

Kegigihan pekebun yang menanamnya juga jangan dipertikai kerana merekalah yang menanam dan menjualnya ditepi jalan laluan para pelancung yang dibawa dari jauh untuk melawat dan menikmati hasil salak dari sini .

Sunday, November 18, 2007

Kejujuran di Hargai.


Dalam perjalanan ke Kundasang ,dilereng bukit akan kita temui pokok nenas yang segar ditanam olih penanam nenas yang sentiasa rajin untuk menambah pendapatan .Disamping menanam nenas . pekebun di lereng bukit ini mendirikan pondok ditepi jalan dan mempamerkan nenas yang masak untuk pembeli yang sentiasa singgah untuk menikmati nenas segar yang masak kekuningan terdapat di teratak di tepi jalan yang menghala ke kundasang .Jangan hairan tidak ada penjual di pondok atau teratak yang terbiar dengan nenas dan mungkin juga ada buah-buahan yang lain juga terdapat disana , ambil saja yang berkenan dan bayar mengikut apa yang telah ditetapkan olih sekeping tanda harga yang terdapat disana .Mangkok atau satu bekas yang berisi syiling akan terdapat disudut teratak itu untuk anda atau pengunjung membayar harga yang telah ditetapkan olih secebis nota tanda harga yang anda perlu bayar , walaupun tidak ada sesiapa yang mengendalikan teratak nenas tepi jalan itu . Terpulanglah pada saudara untuk membayar mengikut harga atau sebaliknya. Sifat jujur yang ditunjukkan olih penanam nenas dilereng bukit ini adalah satu tanda mereka menghargai kejujuran pengunjung ke teratak ,singgah untuk menikmati nenas segar dari kebun, dan membayar harga tanpa siapa yang bertanya dan melayan , kejujuran andalah yang menghidupkan perniagaan kecil seperti ini.

Saturday, November 10, 2007

Ujian Kejujuran dan keikhlasan .


KEJUJURAN sangat sukar ditemui walaupun ada ujudnya tapi hati sendirilah yang menilaikannya. Bidang perniagaan adalah satu bidang yang mencabar keimanan dan keikhlasan individu yang menerokainya . Kejujuran adalah utama untuk mengekalkan dan menegakkan satu-satu perniagaan . Sabar dalam mengharungi kepayahan dan susah senang dalam perniagaan juga adalah bagai resepi untuk menemui kejayaan dalam perniagaan atau sebaliknya . Jatuh bangun dan jatuh lagi kadang sebagai pembakar semangat untuk berniaga kadang bagai bunga layu yang tak akan mengembang lagi , banyak yang perlu diselidikki, pengetahuan dan pengalaman hanya sebahagian dari resepi perniagaan yang akan berjaya tapi ada yang berpengalaman pun kecundang juga . Kalau mau dihitung secara theory memang mudah , tapi apabila perniagaan berjalan barulah rasa susah dan payah , lalu sabarlah yang menampilkan diri tapi berapa lama dapat kita bersabar bergantunglah pada modal dan strategy, Banyak pelanggan , banyak orang yang datang menolong , tapi dalam yang banyak ada yang tidak jujur sebagai pelanggan dan tidak ada kejujuran dalam memberi pertolongan . Ada yang berniat serong terhadap perniagaan yang baru saja mampir pada kejayaan , lalu keperkasaan orang berniaga juga diuji , mungkin itulah yang menyebabkan ada orang berkata bukan senang nak jadi senang. Bukan mudah pula untuk mempertahankan senang yang sudah dimiliki..

Tuesday, October 30, 2007

Keramahan Isla de Pasqua, dan kenangan ...


Isla de Pasqua. Mungkin ada diantara kita tak pernah mendengarnya satu nama yang unik dan jauh ribuan batu dari daerah kita tapi keramahan penduduknya tak pernah lupa dan elok rasanya dicatit dan dihebahkan sebagai satu ingatan bahawa kita pernah sampai didaerah ini dan menapak ,walaupun sekejap,tapi kesempatan beramah tamah dengan penghuninya yang tak banyak , dalam perkampungan nelayan yang jauh dari dan terasing namun kepulauan ini tak pernah sunyi dari kedatangan pelancung dari luar daerah mereka menyebabkan mereka sentiasa ramah pada tamu yang berkunjung kesana.

"Rappa Nui" adalah satu lagi panggilan yang menjadi sebutan penduduk tempatan kepada pulau yang banyak tarikan bahan sejarah ini . Binaan batu yang menyerupai lembaga manusia ini dihasilkan begitu unik yang melambangkan kekuatan penduduk tempatan pada masa itu dan mungkin juga sebagai satu simbul kepercayaan mereka kepada sesuatau yang bolih menahan mereka dari bahaya dari dari laut , dan berbagai lagi perkara yang bolih kita fikirkan

tentang kepercayaan penduduknya yang tentunya bertemadun kerena kejayaan hasil cipta bolih bertahan hingga kehari ini.

Ada lebih dari sepuluh lembaga yang ditegakkan ditepi laut ini, muka-muka lembaga ini semuanya menghadap ke laut. Memang terasa gerun kalau tiba saja kita bertemu dengan lembaga yang besar tersegam menunggu kedatangan kita , lebih lagi waktu senja.

Sikap ramah penduduk yang kebanyakannya adalah nelayan dan yang bekerja diladang buah jambu yang airnya dikotakkan sebagai sumber ekonomi pada pulau kecil dan terpencil ini .

Perkara yang paling saya ingati dan tak mungkin dilupakan ialah ketika menikmati lobster atau udang karang yang besar yang dihidangkan bersama makanan yang kebanyakannya dari ikan kerana kita mau pastikan apa yang dihidangkan adalah dari sumber halal.

Tak pernah saya mimpikan untuk sampai kesini, mungkin dah tersurat dek kerana kita ditugaskan membuat liputan pelayaran Azhar Mansur yang mencipta sejarah pelayaran solo melayari laut dunia bahagian selatan dari Langkawi dan berakhir juga di Langkawi,mengalami

peristiwa layar patah yang dipukul ribut ketika menghampiri kepulauan Falklands, Azhar yang terselamat dan terkandas di Falkland , menunggu gantian tiang layar yang baru , dan missi kami juga adalah bertujuan mengantarkan Layar yang baru untuk menggantikan layar yang patah di Falkland.

Sebelum sampai ke Falkaland yang memakan masa lima hari , kami berhenti dan singgah untuk mengisi minyak dan menunggu ada yang sampai kepada beberapa jam ,jadi semasa menunggu penerbagan disambung semula kita dapatlah melawat negeri yang disinggah dalam perjalanan menemui Azhar di Falklands .

Friday, October 26, 2007

"Bo Den" and The New Sortingland....



"Boden" .Mungkin menjadi perintis kepada pertumbuhan kawasan sekitaran Batu Kikir Serting Hilir ,dari perkampungan yang sepi dan perkebunan yang kecil-kecilan sedang menuju kearah yang sedikit kesibukan dan aktiviti harian yang dulunya jarang dan sekali sekala sekarang makin bertambah,akibat dari ujudnya Boden ditengah perkampungan yang dulunya dibelakangi bukit yang penuh dengan kayu kayan , sekarang dari jauh hutan yang pekat dah hampir bertukar menjadi satu perkampungan yang cantik dan menarik , pekerja Boden meluaskan kawasan ini mengikut landskap yang telah diatur dan disusun ,mengekalkan pokok besar yang terdapat didalamnya. Sekali tersilap ,pandanga nya mungkin seperti N.Zealand, walau apa pun perubahan yang dibuat untuk kesihatan pengghuninya yang menghuni dan bermukim disini sebagai penduduk tetap , kerana mereka ini kebanyakannya adalah kelompok pendatang yang dibawa dari Australia dari bangsa "Boer". Mereka akan menghuni dan belajar bahasa tempatan .Secara perlahan mereka akan menerima dan menyesuaikan diri di tempat baru yang dilengkapi rumputan hijau yang sentiasa menyelerakan ,lebih lagi pada baka jantan yang sentiasa bersedia dek kerana sasa tubuh badan yang menggiurkan dan tinggal berasingan disatu sudut dalam perkampungan baru.Tempat baru ini,ada yang suka digelarkan dengan nama yang seolahnya tiada perubahan ketara untuk penghuni dan penduduk tetapnya, mereka mencipta atau memanggil dengan nama baru " The New Sertingland".Kalau dalam bahasa daerahnya mungkin menjadi "The New Sortingland".

Mengikut apa yang diungkapkan olih pengusaha dan pemiliknya, Bo Den akan diusahakan secara berperingkat, akan ada satu kelengkapan yang menyusul kemudian sebagai pusat pembiakan baka yang akan dilengkapi dengan pusat R&D untuk baka -baka yang dikeluarkan disini .

Tempat yang sejuk mata memandang ini akan juga dibuka pada pelawat yang mungkin akan bermalam dan membuat kajian atau akan menikmati hidangan daging kambing panggang fresh from the farm untuk majlis mereka dan bersantai ditepi kolam yang lengkapi bungaan dan mungkin juga kan berteduh dibawah pepohon kerdas atau jering atau pokok asam kandis yang akan memenuhi sekitarannya nanti. Semua ini adalah seribu kemungkinan yang akan dilengkapi dan menghiasi kawasan Bo Den yang sekarang ini sudah mendaftarkan penghuni tetapnya sebanyak 700 ekor kambing semuanya dari jenis boer yang mungkin pertambahannya akan menjadi bilangan 7,000 ekor pada masa akan datang apabila semua kelengkapan telah bersedia dan berupaya menjaga dan menyuburkan penduduk tetapnya.

Kita Harap Bo Den akan berjaya dan berdoa segala rintangan akan sentiasa dapat diatasi dan InsyaAllah Bo Den akan memiliki segala kepakaran secara tersendiri dan akan muncul sebagai pembekal baka yang disegani .

Friday, October 19, 2007

Rayo di kampung.Petani dan Ekonomi .


Puas kita merantau namun totap teringat kampung yang ditinggalkan , sepi kampung nan jauh namun tak bisa kita melupakan , walau jauh dimata namun dihati tetap terkonang , kita yang lahir dan membesar bersama sawah yang tak pernah terbiar walau kemarau panas memanchar ,tanah merekah dalam petak sawah tak pernah kita mengalah dan berserah. Kita anak dari sawah yang yang tak pernah menyerah kalah , hidup disini dibuai udara segar dikelilingi dikasihi dan kasih nya sentiasa mekar. sebab itulah walau jauh pun kita tetap berkampung .

Hari raya iedulfitri sambutan yang meriah dikampung ada yang berkenduri besar , di musim ini , dan yang jauh dan dekat semuanya berkumpul dan menjadikan kegirangan tak pernah berhenti . Tua muda berceloteh tentang yang dulu dan terkini penyeri majlis ikatan keluarga dieratkan lagi , alangkah baik nya kalau setiap tahun kita seperti ini .

Kampung kita tak banyak berubah ,kemajuan lambat datang kesini, orang bercakap pasal pertanian adalah perniagaan namun kita tetap begini cuma yang ketara ,dulu sawah setahun hanya sekali tapi sekarang sudah dua kali itu pun sudah lama sejak ada pengaliran Muda dan sungai kecil atau tali air yang merentangi sawah padi sejak aku masih berumur 12 tahun lagi . Sudah menjangkau 40 tahun lebih mungkin, satu jangka masa yang panjang dan sepatutnya perubahn telah banyak berlaku disini , ada yang berubah terutamanya petani yang dulunya tak pernah berulang alik kemana saja hanya berbasikal, sekarang dah bermotorsikal dan dulunya hanya rumah beratap nipah atau rumbia berdindingkan buluh dan sekarang ada yang mampu memiliki rumah batu beratap genting , tak di nafikan , tapi lihatlah bidang pencapaian yang lain juga terutamanya dalam pencapaian akedemik anak penoreh getah dan petani dan nelayan yang selalu dikategorikan sebagai kalangan miskin . dan ratanya memang miskin , dan tak dinafikan juga ada dikalangan petani yang telah berubah kerana kecekapannya yang juga punyai semangat yang mau mencorakkan diri kepada yang lebih baik taraf ekonominya lalu mempelbagaikan usahanya , maka pertukaran sikap dan pandai mengatur ekonomilah dia tergulung dalam kalangan yang terbaik dalam kawasan yang ratanya pendapatan tak seberapa ini .

Sumber pendapatan selain padi , ada jugalah dari getah dikebun yang disana sini sebagai penyambung anak sekolah nak belajar supaya lebih mengerti tentang kehidupan pesawah dan petani , kta bukannya anak dari Felda atau Felcra yang sentiasa ada peningkatan ekonomi kerana kehidupan mereka bergabung dan banyak perkara ,terutamanya bidang ekonomi sentiasa di peduli dengan teliti , kita pesawah dan petani hanya bergantung pada subsidi sana dan sini , banyak perancangan yang dibikin kurang menjadi, apakah kerana kita suka menyendiri atau kita terlalu berharap pada subsidi hingga kita digelar masyarakat subsidi ,apakah kita menanti peduli atau perancangan besar yang bolih merobah kehidupan yang kita lalui dah bertahun ini ,

Kepelbagaian tanaman dan ternakan mungkin bolih merobah ekonomi dan kita akan dilepaskan dari gelaran masyarakat subsidi satu hari nanti .

Mungkin banyak perkara yang perlu kita fikirkan untuk menjana pendapatan supaya kita bisa hidup berdikari dan menjadi pesawah dan petani yang disegani kerana hasil ternak dan tanaman yang menjadi sumber kepada peningkatan ekonomi .

Wednesday, October 10, 2007

Sejarah terukir semua mesti fikir...


Alhamdulillah berbanyak syukur pada Allah , kerana di bulan yang mulia ini penghujung Ramadhan dan baru sahaja umat islam menyambut nuzul Quran masing masih lagi sibuk dengan berbagai amal yang bolih meningkatkan diri sebagai hamba Allah yang soleh dalam segala urusan , muncul pula bidang baru yang telah diterokai dalam usaha memupuk minat yang mendalam dan mengembalikan kegemilangan Ilmu yang telah dipelopori umat yang telah lalu dalam berbagai bidang sains , perubatan, sain kimia , sain astronomi dan berbagai lagi yang telah diterokai , tetapi diteruskan secara kecilan-kecilan selepas dari era kegemilangan . Lalu apa yang dirintis menjadi milik orang lain selepas nama yang tersohor telah lama berkubur namun yang ditinggalkan dan dipaparkan diteruskan olih orang lain damn merekalah mendabik dada dengan meneruskan kejayaan demi kejayaan yang tak pernah dikongsi olih mukmin sekian lama dan tertinggallah kita terkebelakang dalam perlumbaan mencapai kebijaksanaan dalam sain ini .

Alhamdulillah sekali lagi ada hamba Allah yang punya Ilmu dan bergelar doktor sanggup menyambut cabaran dan beliau dan kawannya telah seorang lagi doktor berjaya mencapai tahap yang di perlukan dan sekarang mereka telah bergelar angkasawan , walaupun hanya seorang dari mereka dipilih untuk memulakan tugas yang pertama untuk menyertai missi

keangkasa ini selama sepuluh hari bermula dari hari ini .

Pelancaran berjalan dengan baik berkat doa dari saudara mara muslim dan sekelian rakyat yang mengikuti setiap detik pelancaran yang diadakan di bikounor Kazakhstan hari ini tanggal 10 .10. 07 dan bertolak jam hampir sepuluh malam waktu malaysia pada jam 9.21 malam .

Semuga Dr. Muzaffar Sukur dan teman-temannya akan menjalani pengalaman yang selamat dan menambah ilmu untuk dikongsi bersama olih ummah yang hanya mengetahui keindahan setiap penciptaan yang dikurniakan melalui Al_Quran yang diturunkan , bacaan yang hanya untuk mendaqpatkan pahala bila membacanya tanpa susulan kajian yang bersunguhan dari hambanya yang telah lama membaca dan mengetahui sedikit , dah beberapa kali khatam tapi masih dangkal untuk faham , salah siapa kah ini , salah kita sendiri . Semuga kita menyesali kesalahan yang lalu selama hayat kita yang kita sesiakan dalam mengejar ilmu , untuk di manafaatkan kita terlalu enak dibuai angin sepui -sepui hingga terlena dalam dakapan asyik .

Sekian untuk peringatan dan sebagai catatan tinta sejarah mungkin baru bermula untuk kita sama majukan .

Wednesday, October 3, 2007

Rindu Kampung laman ..


Ramadhan yang hampir ke penghujung ini , kesabaran dan kekuatan diri semakin menghadapi banyak ujian dan berbagai ujian yang harus dihadapi untuk menguji kekuatan dan sejauh mana kesabaran seseorang yang berpuasa dapat bertahan dengan ujian terhadap dirinya . Ketika lapar pada orang yang tidak ada niat untuk berpuasa lain tindak balas keatas sesuatu ujian terhadapnya , tetapi apabila berpuasa disertai dengan niat hati dan fikirannya sentiasa beringat bahawa dia sedang menunaikan puasa maka lain pula tindakan keatas segala ujian yang dihadapinya .Bergantung pada individu yang mengalaminya .

Jiwa yang telah terlatih, walaupun sebulan sahaja untuk berpuasa sentiasa mengawal kegiatan tingkah laku dan tutur kata apakah akan berterusan dalam pembawaan ke hari-hari yang akan datang selepas dari Ramadahan dan datang Syawal ,dimana kemenangan akan disambut selama sebualan , apakah erti kemenangan yang tercapai semasa berpuasa di Ramadhan terbengkalai kerana keseronokan menyambut kemenangan . Jadi hati-hatilah .

Rindu pada kampung halaman dan rindu pada sanak saudara apabila di perantauan akan diisikan sebagai hadiah kemenangan,tapi ada yang tak kesampaian lalu rindu tak terubat , ada yang rindu bertambah rindu kerana yang pulang, pulang untuk selamanya,yang menunggu penuh hiba rindu bertambah rindu sayu bertambah sayu hilang lagu, banyak airmata , lagu hilang irama . Dinanti tak tiba . Berhatlah dijalan raya , jangan kereta akan jadi pusara . dan lebuhraya menjadi kuburnya . Semuga kita punya kesabaran memandu ikut aturan , Selamat kita sampai kepengkalan .

Tinggal dikampung orang beranak pinak dah jadi kampung kita, balik kampung kita banyak yang dah tak ada cuma sekerat dua adik dan saudara , lain banyak yang tak kenal kita , cuma rindu pada kampung yang kita tinggalkan dan air sungai yang jernih dan nampak ikan berlarian . Mungkin itu rindu yang perlu diubatkan , dan senyum dari saudara yang dah lama tidak berkabaran .

Sunday, September 30, 2007

Ujian Puasa ..bukan lapar dan dahaga sahaja..


berpuasa semasa dikampung dan bersama ibu-bapa satu kenangan yang tak dapat di lukiskan betapa indah dan meriahnya berebut kuih dengan adik-adik yan masih lagi kecil ketika waktu berbuka .
Kuih adalah yang disediakan olih mak yang sentiasa sibuk setiap petang dari mengambil daun pisang dan kadang menumbuk tepung paginya sehinggalah kuih yang enak buatan ibu menjadi juadah berbuka yang enak .
Sudah tiada lagi keadaan seperti itu masa kini yang ada hanyalah warung-warung yang dah penuh dengan berbagai jenis warna dan namanya untuk dipilih mengikut citarasa pembeli dan ada kadang kala nasib kurang baik cantik diluar dalamnya entah apa-apa.Rasnya tak seenak nampaknya.
Kepada yang punyai keewangan hampir setiap petang tak ada pilihan kalau tidak tak makan ,apa mau buat kerja balik jam berapa mana ada kesempatan untuk bikin semuanya . jadi terpaksalah ke pasar Ramadhan .
Bulan Ramadahan tahun lalu saya berada di Jogjakarta mengikuti rombongan NGO yang memberi bantuan rumah kepada mangsa gempa bumi didaerah Kelaten Jogja, Disini dapatlah kita perhatikan bahawa puasa yang menahan dari lapar dan dahaga dan puasa yang tiada pilihan waktu berbuka , antara mewah dengan kuih dan kurang segala tentang kuih-muih berbuka dengan apa yang ada sahaja .Banyak beza nya hidup dan berpuasa dibulan ramadahan diuji dengan kemewahan makanan , dan hidup di tempat yang kena musibah ,berpuasa dan makan alakadar apa yang adanya saja . Satu renugan untuk kita yang pernah makan berbagai sajian selepas berbuka dan berkurangan makanan apakah kita masih bertahan dan sabar . ..

Tuesday, September 25, 2007

Bo Den serting ,segar bugar penggalak semangat .



"Bo Den". Nama yang dipilih olih penternak yang baru saja menerjunkan diri kedalam usaha untuk tidak duduk diam selepas bersara ,memang unik ,mudah disebut dan sesuai dengan tempat yang menjadi pilihan usaha ternak ini dijalankan . Batu Kikir ,satu perkampungan yang jauh dari kesibukan dan kemeriahan kota , tapi disini beliau yang memilih bidang ini lebih bahagia mendengar ngembek kambing bagai satu nyanyian malah ada diantara anak -anak kambing itu dinamakan dengan sesuatu nama yang bila sahaja dipanggil akan mengembalikan nostalgia dan akan segera segar ingatan lampau didaerah sunyi ini . Tanah seluas seratus ekar didiami olih 400 ekor kambing buat permulaan dan semuanya berada dalam sihat segar bugar ,memang menyeronokkan, ada juga kolam yang telah di buat untuk menyerikan lagi suasana terpencil dan berjauhan ini .Kolam yang baru saja beberapa bulan ini siap sudah ada tamu yang berkunjung dan terus beranak pinak didalamnya . Sekumpulan itek yang terbang dan mendarat entah dari mana sekarang sudah berkeluarga dan kadang keluar untuk mencari makan disekitar kolam .
Suasana bersantai tepi kolam dan bersenang-senang sambil makan tengahari , huuuh sungguh menyelerakan kena pulak masak lomak chili api daun asam gelugor ,ikan sepat kering asin , wah tak payah banyak masak dengan kepelbagaian lagi sudah cukup menu yang senang dan lebih berselera bila makan tepi kolam bawah teratak yang terbuka dan angin segar yang sentiasa meniup panas bengit pun tak terasa. memang cantik lokasi yang dipilih dan bukan sahaja kambing akan segar bugar manusia yang menjaganya pun akan lebih segar dan insyaalah akan sentiasa sehat dan bersemangat .

Saturday, September 15, 2007

Berpuasa ditempat orang uji ketahanan...


Dalam tahun 1998 ,aku berpeluang menjalankan ibadah puasa ditempat orang ,memang ada niat untuk menguji diri ,berpuasa ditempat orang di mana iklimnya berbeza dan keadaan sekeliling juga amat berbeza.
Aku diberi peluang ke India dan Nepal ketika dalam bulan puasa .Aku dan teman sekerja menuju Nepal menaiki pesawat Singapore Airlines . Selepas Sahur di rumah aku bergegas kelapangan terbang Subang menaiki MAS menuju ke Singapura . Teransit hanya beberapa minit kerana pesawat dari subang tiba agak lewat . Dari Singapura kami bertolak menuju ke Nepal .Penerbangan yang memakan masa menyebabkan aku berpuasa lebih waktu dari biasa kerana sampai Nepal waktunya masih tengahari , Jam 5 petang baru waktu berbuka waktu tempatan . Setelah Check in di International hotel kami keluar berjalan-jalan sekitar kawasan Thamil sementara menunggu waktu berbuka. Berbuka kami hanya dengan roti dan teh tarik yang terdapat disatu warung , malam yang terlalu dingin menyebabkan kami hanya berkurung di bilk hotel kami juga membeli sedikit bekal untuk bersahur biskut dan air dari botol . Jam empat pagi adalah waktu bersahur , Biskut dan air suling dari botollah yang menjadi habuan kami bersahur .
Musim sejuk yang mencengkam menyebabkan pergerakan terbatas , waktu pagi dari hotel buka sahaja tingkap kelihatanlah banjaran yang menjadi kemegahan Nepal iaitu banjaran Himalaya yang sentiasa diliputi salji.
Pagi kami sudah mulakan pergerakan selepas sahaja solat subuh ketika hirok pikok dari lorong -lorong yang sentiasa sibuk dengan manusia yang punya tugas seawal pagi, kami menuju ketempat kawasan pergunungan yang agak jauh dari bandar , Phokara adalah destinasi kami untuk mencari gambar yang menarik ,kami menyewa motosikal untuk memudahkan perjalanan dan senang untuk berhenti dimana sahaja yang kami perlu untuk mengambil gambar ...sambung

Saturday, September 8, 2007

Hassan yang Lara , sebatang Kara.


Setiap kali menghampiri Ramadhan ,banyak peristiwa akan diingati terutamanya yang menyayat hati dan menyentuh perasaan . Walaupun telah lama Baghdad aku tinggalkan sejak tahun 2003, namun darah masih mengalir dan setiap hari ada saja cerita pembunuhan yang berlaku ada yang sampai mencecah ratusan dalam satu hari , korban dari pihak tentera penjajah juga meningkat hampir kepada 4,000 orang lebih mengikut catatan terkini .
Sewaktu aku berlegar dikawasan hotel palestine untuk merakamkan gambar yang perlu sebagai bahan berita ,aku bertemu dengan Hasan yang berusia sekitar 11 tahun ,berjalan mundar-mandir dengan satu kotak yang berisi alatan pencuci kasut sekitar tentera Amerika yang bertugas memberi kawalan keselamatan kepada pegawai Amerika dan orang atasan yang bermukim di hotel tersebut .
Hassan mungkin telah mesra dengan tentera Amerika yang ada di situ, kerana dia bebas berlegar dan ada juga pelanggan yang menyuruhnya mencuci kasut mereka , itulah Hassan seharian disini mencari wang untuk menyara hidupnya uang sebatang kara .Keluarga Hassan semuanya telah pergi takkan kembali lagi dalam satu serangan pengeboman Amerika yang dahsyat diawal kedatangan tentera Amerika menyerang Baghdad .Tiada peninggalan lain yang ditinggalkan olih bapanya untuk Hasan ,Itulah sebuah kotak alatan pencuci kasut,
yang digunakan olihnya untuk mencari nafkah buat menyambung hidup .Kadang-kadang hairan juga saya apabila mendengar bahawa Hassan akan mencari masjid sekitar kawasan berdekatan apabila malam menjelang dia akan bersama dengan kawan-kawannya akan melelapkan mata dan mencuci diri dimasjid yang berdekatan ,senang untuk berulang-alik , tiada siapa lagi yang diharapkan melainkan diri yang sebatang kara itu perlu sihat dan cukup makan sekadarnya ,saudara yang lain juga susah untuk menolongnya dalam saat genting begini , masing-masing perlu cari makanan sendiri.

Sunday, August 26, 2007

Masin Air laut dan Masin Mulut...


Sudah hampir 15 tahun berlalu tapi kata -kata yang baik tinggalan seorang jemaah yang sama berada didalam khemah mu'asasah Mina ketika itu tetap segar dan menjadi ingatan ,semuga Rohnya haji Taib dirahmati Allah dan ditempatkan ditempat yang baik sebagai penduduk dalam syurga Allah .
Haji Taib berumur lebih kurang 80 tahun ketika aku bertemunya didalam khemah di Mina ,dia sedang terlantar berselimutkan kain putih pakaian ihram haji, menunggu waktu untuk melontar jumrah , dia demam tak dapat bangun walaupun beberapa kali dipanggil untuk melawat isterinya yang sedang dirawat dikemah yang berhampiran dengan nya .
Kesempatan berbual dan bertanya kabar dan memberi bantuan apa yang patut kepada orang tua yang sedang demam lebih bermakna disamping berasa kita adalah bersaudara disini dan di mana jua kita berada.
Haji Taib adalah pioneer atau orang yang awal menerokai dan membuka kawasan hutan yang tebal di Ulu Melaka Langkawi , segala kepayahan sebagai orang yang membuat kampung dialami Haji taib,menebang pokok sebesar pemeluk dan kayunya digunakan untuk mendirikan rumah sendiri, bergelut dengan babi hutan dan berbagai cabaran sebagai penerola dihadapi dengan tabah .Bila kawasan dah bersih dan cerah lalu ditanam kelapa,dan pokok yang sesuai untuk diujudkan perkampungan .
Tanaman kelapa adalah sumber rezeki yang utama selain pendapatan dari sumber yang lain untuk Haji Taib. Kebun kelapa yang diusahakan atas sebidang tanah pemberian kerajaan juga sudah berhasil, kelapa yang masak dan juga yang muda di jaja kesekitar kawasan berdekatan pantai Cenang dan lain tempat dengan basikal tuanya .
Disinilah aku mendapat pesanan dari Haji Taib ,lebih bernilai dari harga kelapa yang dijualnya setiap hari dan lebih nilai dari harga tanah yang diberikan kerajaan padanya.
Kita kalau berniaga pun tak semua yang dijual itu akan ditukar dengan duit,kadang kita akan hadapi pelanggan kita yang tak punya wang tapi teringin atau perlu pada barangan yang kita jaja, dalam kes ini pak Haji Taib berpesan beri keutamaan pada orang yang mengidam atau teringin sangat disebabkan mengandung atau sakit .Bagilah atau sedekahkan , dan ingatlah kudrat kita sebagai manusia nyok(kelapa) sebiji pun tak bolih buat. kita hanya tanam .
Lagi satu yang pak Aji Taib cerita adalah tentang pencuri yang sudah mencuri buah kelapa dikebunnya. Selama tiga kali pencuri ini mencuri kelapanya .Bukan saja dia mencuri kelapa tapi anak pokok kelapa yang baru dua tiga tahun mau hidup pun dicantasnya atau dimusnahkan.
Satu hari pak Aji Taib ke kebun kelapa dan dia bercakap sorang dalam kebun itu sambil menyebut " bukan saja Allah marahkan hang yang mencuri , pokok nyok yang baru nak hidup ini pun marah kat hang aku lagi laa.."
Malam yang ketiga pencuri itu hadapi nasib malang kelapa tak dapat maut yang datang .Pencuri terjatuh dari pokok kelapa , tersangkut pada pokok yang batangnya bertemu dan bernokhtahlah hidup si pencucri disitu juga dalam kegelapan malam.
Masin air laut bolih kita rasa masin mulut orang jadi penawar pada bisa...Allah sahajalah yang maha mengetahui.Semuga Rohnya Haji taib dirahmati Allah dan dikumpulkan bersama kalangan yang beriman . Amin..

Friday, August 24, 2007

Apabila Lidi-Lidi bersatu ,maka kuatlah Penyapu.


Pengorbanan pejuang kemerdekaan yang berhabisan harta dan tenaga dam usaha untuk memerdekakan negara wajarlah mendapat sanjungan dan penghargaan dari semua lapisan rakyat negara bertuah ini,yang tercatet namanya dan dikenali setiap kali namanya disebut dan tertulis dalam sejarah negara berbanggalah anak cucunya ketika ini kerana penghormatan yang wajar diberikan kepada setiap pejuang ,yang tak tercatet namanya pun seharusnya berbangga kerana kisah mereka dan ketokohan mereka masih lagi diingati dan dijulang namanya walaupun secara tau sama tau .
Bapa dan ibu kita yang jauh dikampung juga sepatutnya mendapat sanjungan dari anak cucunya walaupun perjuangan hanya sedikit dalam usaha membantu untuk mencari ahli dan menyumbangkan seutas emas atau berkayuh basikal dalam usaha mengumpulkan tangan yang menentang gagasan malayan union dan berpakat dalam sesuatu gerak dan tindakan yang bolih menyebabkan kemerdekaan tercapai patut juga disebut dan di sanjung sebagai pejuang yang berusaha diperingkat bawah ,tetapi mereka ini selalunya terasa malu kalau dia disebut pejuang.
Kesepakatan yang ditunjukkan olih pejuang diperingkat bawah adalah asas yang melonjakkan semangat dan kekuatan para pejuang yang berada dibarisan hadapan untuk merangka strategi dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Pejuang bawahan ini tidak dibawah kelas perjuangannya, merekalah yang menjadi asas kekuatan dan tunjang pada pertubuhan yang berjuang menuntut kemerdekaan .Selepas merdeka ada dikalangan mereka ini yang tidak segan silu mengikuti kelas dewasa yang bertujuan menghapuskan buta huruf ,mereka jugalah yang menjadi peneroka yang menerokai hutan belantara dimana tesergamnya felda dan felcra dan lain badan lagi yang berjuang tak henti-henti hinggalah mereka itu tiada lagi disisi anak dan cuccu yang sentiasa tersenyum dan menikmati hasil dari kemerdekaan .

Monday, August 20, 2007

Shouting Valley-Tanda perpisahan dan kenangan .



Peperangan 1967 meninggalakan kesan yang mendalam kepada penduduk Syria keseluruhanya, bukan sahaja Syria yang menghadapi dan menjadi sasaran Israel malah negara yang berdekatan atau jiran yang hampir dengan Syria menerima bahang. Apabila Syria terpaksa menyerahkan Bukit Golan kepada Israel, malunya bukan kepalang jiran yang berdiam diri dan negara yang dibawah belenggu dan telunjuk America yang kaya dengan hasil bumi tak dapat berbuat apa-apa ,kesatuan ummah yang dicanangkan berpecah rupanya, ketika sebuah negara sahabat terpaksa menghadapi perit dan getir dan kalah dalam peperangan yang sepatutnya menjadi musuh bersama .Percubaan Presiden Hafiz Al-Asad untuk megambil semula negara yang telah dijajah pada 1971 hanya mendapat sebahagian dari Bukit Golan . Tanah subur kini jatuh ketangan musuh rakyat terpaksa berpisah saudara terpaksa berpisah negara terbahagi.
Saya telah sempat singgah ketempat yang dipanggil dengan nama Shouting Valley ,di mana sempadan antara kedua negara ini dipisahkan dengan kawat sempadan yang mempunyai arus letrik .Sempadan ini direnggangkan jaraknya 1km dan masing-masing mempunyai keluasan jarak 500m sebagai no man's land .Disebelah Syria satu unjuran lapangan telah dibuat untuk memberi peluang kepada sanak saudara yang terpisah berintraksi.
kemudahan ini jarang digunakan setelah saudara yang terpisah ini sudah hilang keakraban ,mungkin telah bertukar jenerasi lalu keakraban antara yang terpisah ini menjadi longgar. Bayangkan lah kalau dulu dua beradik yang berdekatan dalam satu daerah ,tetapi bila daerah terbahagi dan dijajah lalu terpisahlah antara keduanya, mungkin keadaan ini akan berterusan sehinggalah Syria mendapat kemenangan dan wilayah ini dipulangkan semula kepada yang hak .
Bukan sahaja Israel menang dan mendapat wilayah baru ,Israel jugak meninggalkan
kekejaman yang takkan dilupakan untuk diingati penduduk yang sekarang ini berpindah dari wilayah subur dan mempunyai sumber air ini . Kesan tinggalan dari manusia biadab ini dapat dilihat hingga sekarang , rumah yang diruntuhkan bergelimpangan menyembah bumi ,apalagi masjid dan gereja yang sengaja diranapkan ditinggalkan dan sekarang ini telah dijadikan Muzium olih Syria.

Wednesday, August 15, 2007

Muzium Quneitra simbul kekejaman dan kesengsaraan .



Quneitra, Syria terletak bersempadan dengan Israel, Bukit Golan menjadi pemisah sejak tahun 1967. Lembah subur yang menjadi idaman Israel sekarang dibawah penguasaannya.Punca Air yang mengalir keSyria dan Jordan menyebabkan daerah ini di serang dan ditawan pada peperangan 1967, Israel begitu rakus sekali dalam usaha mereka untuk memiliki daerah subur ini , penduduknya di usir dari jumlah yang 24,000 orang yang menghuni daerah ini hanya tinggal 4,000 orang sahaja .
Pada 1971 presiden Syria cuba untuk mengambil kembali daerah ini tapi tak berjaya hanya sebahagian sahaja daerah ini dapat di kembalikan pada Syria sebahagian lagi menjadi milik Israel hingga sekarang.Kedegilan Israel untuk meninggalakn wilayah ini terbukti sehingga sekarang ,Jelas kesan peluru yang dilepaskan terhadap hospital ,masjid dan juga gereja menjadi bukti kekejaman yang dilakukan Israel sebelum mereka meninggalkan wilayah Quneitra ini setelah diarahkan PBB supaya meninggalkan wilayah ini dalam masa 10 hari. Dalam masa 10 hari inilah yang diambil Israel untuk memusnahkan segala bangunan yang ada samaada rumah kediaman atau masjid gereja dan hospital tidak lagi dihormati olih Israel yang kejam itu.
Sekarang Quneitra diistiharkan sebagai muzium olih Syria untuk mengingati peperangan dan kekejaman yang telah dilakukan olih tentera Israel . Setiap hari minggu kita akan dapati keluarga yang pernah bermastautin di kawasan ini yang juga pernah memiliki rumah dan sebagainya akan kembali kesini untuk mengenang kembali apa yang telah berlaku terhadap keluarga dan harta yang telah musnah dan mereka diusir dari tanah subur yang pernah dimiliki suatu waktu dahulu .

Saturday, August 11, 2007

Sejarah baru terukir ,perjuangan tak berakhir.



kegembiraan yang tergambar pada malam itu seolah kesengsaraan yang dibaluti dan perjuangan yang berjalan dan mengorbankan sekian nyawa telah terlupa dan tidak tertulis dalam sejarah membangkitkan martabat kaum kulit hitam selama ini .Mungkin mereka melupakan sejenak segala kesengsaraan yang lalu malam ini adalah untuk mereka melakar sejarah baru dalam perjuangan menolak Arphateid , mereka mungkin juga mau membuang jauh -jauh sejarah hitam yang menghantui kehidupan selama ini. Begitulah rancaknya tarian dan kegembiraan yang hadir untuk menyaksikan sejarah bakal tertulis sejarah kemenangan atas perjuangan mereka selama ini.
Bendera lama yang meriwayatkan penderitaan dan kesuraman kaum hitam akan digantikan . Bendera baru akan berkibar bersama semangat baru tepat jam 12 malam . ANC telah bergabung dengan beberapa partai lain untuk menubuhkan kerajaan yang akan memerentah seadilnya dalam mengembalikan maruah bangsa.Tetamu yang hadir tidak mahu melepaskan peluang menjadi saksi pada saat bersejarah ini . Ada hitam ,berwarna dan ada yang diantaranya berkulit putih pada malam yang dingin dan bersejarah ini. Tua muda semua berdansa beriramakan lagu kegembiraan .Lagu sendu dan riwayat kesengsaraan tenggelam .
Banyak derita kalau mau dicatat.Banyak kematian kalau mau dikira dalam usaha membangkitkan maruah dan perjuangan kaum hitam yang tertindas dan merempat di bumi sendiri . Tidak ada yang sedap dan manis dicatat dan didengarkan dalam harungan perjuangan memertabatkan bangsa hitam yang merempat dibumi sendiri ini . Tapi malam yang bahagia ini segala derita dikuburkan sejarah baru kehidupan yang akan dilalui selepas ini adalah satu lagi perjuangan yang tidak ada penghujung akan juga diharungi secara muafakat.

Sunday, August 5, 2007

Pejuang Tulin-Nelson Mandela.


April 1994 .Peluang tak datang selalu dan dengan begitu mudah, semasa bekerja saya telah berpeluang membuat liputan peralihan kuasa dari" Dasar Arphateid" yang diamalkan olih regim kulit putih yang memerintah Africa Selatan dibawah De Clark dan pemerintah sebelumnya yang telah menyebabkan kesengsaraan keperitan hidup warga peribumi berkulit hitam .Di sini kalau kita dilahirkan hitam maknanya hitamlah kita sepanjang hidup .Berbagai hak yang perlu untuk menjadi seorang manusia yang sempurna dinafikan dan diasingkan .Sistem dan tatacara dan budaya yang dimiliki akan dipisahkan dari amalan seharian dan kerana kulit hitam akan dihina sepanjang hidup .Sekolah diasingkan tidak bercampur antara kulit hitam dan kulit putih, Bas yang dinaiki untuk sesuatu perjalanan pun akan diasingkan malahan ada jalan tertentu tak bolih dilewati olih warga berkulit hitam . Tersisih segala amalan dalam budaya masyarakat berkulit hitam yang punya tatacara hidup sendiri ,dinafikan haknya malah tidak diiktiraf keujudannya,walaupun negeri adalah kepunyaan sendiri, hidup ditanah air sendiri cuma hak memerentah negara sendiri hilang dari mereka . Hidup dijajah olih bangsa kulit putih berkurun lamanya dengan memperaktikkan dasar yang dibenci dan dikutuk olih masyarakat seluruh dunia, namun tebal muka dan sifat tak tau malu bolih mengekalkan pemerintahan mereka hinggalah lahirnya pejuang-pejuang dikalangan bangsa berkulit hitam ini dan untuk mencapai kejayaan bukan senang dan mudah terpaksa mengorbankan beribu nyawa,mereka adalah pejuang -pejuang tulin yang lahir dari penindasan sekelumpuk manusia angkuh yang kelumpuknya kecil tapi berbisa kerana kesombongan yang dimiliki, mampu mencipta dan mengubah segala keharmonian dan susila bangsa setelah bangsa itu dibawah jajahan dan penguasaan mereka.
Nelson Mandela lahir dari keturunan yang dihormati dikalangan suku kaumnya, hidup susah ,terpisah sejak dari kecilnya, bernasib baik kerana mendapat pelajaran diperingkat awal hidupnya .Susah payah diawalan mengajarnya berjati diri dan kental dan lasak menghadapi tendang terajang dalam memperjuangkan nasib bangsanya.
Kerjaya peguam dipilihnya, mungkin disudut hatinya mahu membetulkan keadaan ketidak samaan yang membelenggu kehidupan dalam masyarakatnya ,beliau menubuhkan kumpulan penentangan yang dianggotai olih kawan-kawan yang sebaya dan juga dari kalangan yang senior darinya . Penentangan berupa tunjuk perasaan dan demonstrasi dianjurkan, berkali-kali sekiranya ada masaalah berbangkit . Ada diantara kawan yang berjuang bersama beliau gugur tewas dalam usaha mendaulatkan bangsa ini.Perkara ini adalah biasa dikalangan para pejuang yang berusaha untuk kepentingan dan maruah yang dituntut.
Semasa saya sampai disini untuk membuat liputan gambar bersama pemberita Ben yang juga berkulit hitam tapi nasibnya lebih baik kerana dilahirkan di Malaysia dan tidak diasingkan sepertimana orang yang berkulit hitam di Africa selatan ini ,Ben setiap kali mau keluar membuat liputan akan mengenakan topi yang mempunyai lambang Malaysia diatasnya . Maklumlah disini nampak tenang tetapi berbahaya , kerana banyak terdapat "snipers" atau penembak curi, yang sentiasa mencuri untuk menembak sesiapa sahaja yang dianggap musuh .Dikalangan partai yang mengambil bahagian dalam pilihan umum ini untuk menentukan kerajaan dan mengeluarkan Arphateid dari berkuasa banyak pendukungnya berpuak-puak mendukung partai yang tertentu ,kadang-kadang timbul perbalahan sama sendiri sehingga tembak menembak berlaku . Hari pertama mendaftar diri sebagai orang luar yang membuat liputan , ketika dalam teksi untuk balik kehotel saya telah di kejutkan dengan berita yang disampaikan ketika dalam perjalanan melalui radio, seorang jurugambar mati ditembak ketika membuat liputan tembak-menembak yang berlaku diantara pendokong Butholezi dan Inkhata , Jurugambar yang pernah memenangi anugerah pulitzer atas gambar yang telah dirakamkan beliau semasa aksi penentangaan yang diadakan sebelum pilahan raya yang diadakan berlaku dan beliau mati ketika saat kemuncak penentuan perjuangan dan peralihan yang akan berlaku selepas pilihanraya ini . Beliau pergi terlebih dahulu tak sempat menikmati kemenangan .Maaf saya terlupa namanya , Beliau adalah dari Akhbar the STAR. South Africa.
Gerun juga ketika berada dalam negara yang punya keadaan yang tidak menentu ini .
Pagi-pagi sudah ada berita bom sana -bom sini.
Berbalik kepada Mandela dan ketokohan yang dimiliki dan kekentalan perjuangan hingga menyebabkan beliau di perosok kedalam penjara selama 27 tahun dan bayangkan 27 tahun adalah satu masa yang terlalu lama pada manusia yang telah biasa dengan kehidupan bebas walaupun dalam belenggu penjajahan , namun demi perjuangan beliau tabah dan terima dengan redha.
Rasa beruntung dalam kerjaya yang singkat tapi padat dengan peristiwa yang diperlihatkan dan berpeluang secara dekat menemui para pejuang kental yang disanjung olih bangsanya dan dihormati olih sekelian bangsa bermaruah didunia yang sentiasa hidup berjuang menegakkan keadilan sejagat.
Saya berpeluang membuat liputan saat kemenangan ANC dan peralihan yang berlaku ketika bendera bertukar pada malam yang bersejarah dan melihat kegembiraan yang terpancar dari setiap wajah baik tua mau pun yang muda masing-masing berseri dan punya harga diri dinegeri sendiri.
Hampir ada ketikanya saya juga turut menghentakkan kaki menurut lagu dan irama yang di mainkan dimalam yang setiap orang tak kira hitam ,putih atau kulit berwarna punya maruah dan harga diri. Saya seronok dan berbangga dapat bersama bergembira dan tumpang sekaki.
Sambungan...

Saturday, August 4, 2007

melentur maruah di bumi merdeka.


Bukan senang nak senang walaupun dah kita menikmati kemerdekaan selama 50 tahun .Dalam waktu yang sama juga banyak orang yang telah mencapai kesenangan , ini bukan soal nasib tapi mungkin laluan yang dilalui dan peluang datang mudah difahami, dan dia rajin berusaha dengan ilmu yang ada berterusan usaha secara gigih lalu dia menikmati hasil dari titik peluhnya.Tak dinafikan ada yang berusaha tapi nasib dan peluang untuknya tak menyebelahi lalu gagal.mungkin ada silap sana sini, menyebabkan kegagalan.
Banyak tokoh perniagaan yang kaya raya tak punya pelajaran yang tinggi tapi bila dah kaya, dia punya kekayaan bolih membeli kebijaksanaan orang lain untuk bekerja dengannya dan sampai hari ini kekayaan yang dimiliki kekal dan bertambah . Tokoh perniagaan ini dulunya tak pernah lekang dengan seluar pendek biru berbaju senggelet putih atau senangnya baju panas putih cap "Pagoda".Tokoh ini mungkin tak pernah terfikir bahawa kekayaan yang dimiliki akan melimpah ruah, turun dari puncak bukit sampai keujung negeri luas dan besarnya perniagaan yang dijalankan ,bermula dari hanya membaiki basikal .Tokoh ini dan kawan yang sebaya dengannya masih lagi menarik nafas udara dari negara yang telah merdeka .
Ada dikalangan kita yang telah mencapai usia 50an , banyak kisah keperitan dan kesusahan yang ditanggung olih ibu-bapanya tak pernah hilang dari benaknya , dari anak nelayan ,anak petani , anak pesawah dan anak peniaga runcit semuanya meneruskan perjalanan hidup yang berbeza-beza. Segala kenangan manis ini akan bersemadi dalam ingatannya walaupun banyak kali dan berpura-pura mahu melupakan dan membuang jauh -jauh , sekiranya sekarang dia punya gedung besar dan berjawatan tinggi dan punya gelaran yang setimpal dengan kedudukannya.Ada juga yang mahu menyimpan sebagai kenagan manis bersama ayah ibunya disawah,dilaut dan ketika dikedai runcit yang mungkin telah bertukar menjadi gedung besar .
Lumrah , sifat azali manusia ada yang jatuh bangun dia belajar darinya , dan berusaha terus lalu kejayaan datang padanya dan dia menikmati kekayaan yang diberi sebagai usaha yang di berkati dan menikmati keindahan yang wajar ada pada seseorang yang bergelar orang kaya.Tak kurang juga ada dikalangan yang kaya raya ini tak pernah cukup apa yang didapati dan tak pernah bersyukur ,hak dia, dia punya ,hak orang pun dia punya .Bantai semua .
Negarawan yang terdahulu berjuang dan berusaha untuk memberi erti kemerdekaan yang sebenar untuk kita .Kitalah meneruskan pencapaian mereka supaya setiap rakyat yang mengghuni dan mengakui dan mempunyai hak sebagai rakyat walaupun tak punya seinci tanah pun yang menjadi haknya dibumi kita ,tapi haknya sebagai rakyat tetap dijaga dan terbela mengikut perlembagaan negara. Kita perlu berterima kasih pada negarawan yang telah pergi meninggalkan banyak jasa kepada kita , terutamanya dalam bidang pelajaran .
Saya masih ingat "Kelas Dewasa" yang diadakan disetiap kampung bertujuan untuk membasmi buta huruf dikalangan orang tua-tua nenek -nenek dan ada juga dikalangan bapa kita yang menghadiri kelas ini . Mereka tidak merasa janggal atau malu untuk mengikuti kelas ini kerana mereka mengakui kelemahan yang ada pada mereka ,walaupun berumur ,mereka tetap mahukan ilmu yang bolih mencelekkan mereka dari buta huruf dan tertinggal segalanya.
Waktu itu semua orang bersemangat untuk memajukan diri dan negara ,tak kira tua dan muda , banyak persatuan yang diujudkan untuk menaikkan taraf hidup rakyat yang tertinggal diperkampungan dan daerah yang terpencil, persatuan belia yang bergiat dengan berbagai jenis sukan seperti bola dan sepak takraw diberi bantuan baju , kasut dan sebagainya untuk meningkatkan lagi taraf permainan dan semangat bersukan .
Sekolah yang di luar bandar ada mempunyai kawasan yang luas dan kawasan ini digunakan untuk berkebun ,menanam sayur-sayuran dan pelajaran pertanian di pupuk semasa di sekolah rendah dan juga menengah .
Banyak kegiatan yang menarik minat setiap orang dan bertolongan diantara satu sama lain mungkin bolih di hidupkan kembali dikalangan belia yang ada supaya gejala sosial yang meruntuhkan dapat dikawal . Tak dinafikan bahan terlarang seperti ganja dan sebagainya bolih juga didapati dari dulu secara senyap diperkampungan nelayan dan daerah yang berdekatan dengan bandar ,malah harganya murah dan senang didapati .
Pelajaran adalah asas terpenting yang perlu diberikan kepada rakyat seluruhnya dalam membentuk arah dan pencapaian kemajuan sesebuah negara. tanpa pelajaran maka malang lah kehidupan yang bakal dijalani olih seseorang itu ,bertambah malang lagi kalau sekiranya ilmu itu dimiliki tapi tak diamalkannya. Ibaratnya besi yang padu kekuatannya tapi terbiar dan tak digunakan maka berkarat dan ditelan bumi akhirnya.

Monday, July 30, 2007

Negarawan Agung-menjelang 50 tahun Kemerdekaan


Cerita yang kita dengar dari sumber dan kita masih ingat tak kiralah semasa kita masih sekolah atau selepas sekolah dan bekerja, tetapi kita tetap rasa bertuah kerana hidup dalam zaman seseorang yang kita hormati selain dari kalangan saudara kita ,kita juga diajar menghormati kebaikan dan jasa orang lain terhadap kita atau manusia seluruhnya , dan sesiapa yang memakmurkan bumi adalah layak mendapat sanjungan dan pujian lebih-lebih lagi perkara ini adalah sesuatu yang di suruh olih agama yang kita anuti dan berpegang dengannya.Mengenang jasa pemimpin yang pernah memimpin kita dan memberi terima kasih atas segala kebaikan yang dilakukannya saya rasa ada perlu dipupuk dan diajar kepada generasi kita , supaya generasi akan datang akan lebih baik dan bermoral tinggi dari kita yang ada sekarang .
Dalam hati kecil kita selalu berperang dengan apa yang kita telah nampak dan berlaku depan mata kita ,gejala sosial yang menghimpit anak kita dan zaman kita rasa sukar nak di bendung . tapi kita tak sekali menyerah kalah dengan himpitan ini. Pelbagai cara telah digunakan olih pelbagai pihak dari ibu-bapa,guru, polis dan berbagai lagi pasukan gempur yang digunakan untuk mencegah dan menangani isu rendah moral yang berlaku dikalangan kita dalam perencanaan kearah pencapaian yang lebih baik dalam segenap perkara untuk melengkapkan diri sebagai manusia yang berilmu ,bermoral dalam wadah mengisi arti kemerdekaan yang telah kita duduki selama 50 tahun .
Semasa bekerja pernah saya melewati beberapa negara yang telah dulu merdeka dari negara kita, ada negara yang hanya mempunyai sebatang jalan sejauh kurang lebih 80 km dan dipanggil highway , sampai saja kita di penghujung yang dikatakan highway kita akan didatangi olih penjual yang menjaja bermacam rupa barangan dari kraftangan dan makanan dan macam-macamn lagi barangan yang bolih dibuat dan dujual untuk pengguna highway tersebut .Dalam negara ini juga terdapat buah kelapa sawit yang dijual ikut timbangan dari tandan yang berselerak dalam pasar pagi negeri itu.Sedangkan negara inilah yang dulunya kita dapatkan benih sawit untuk ditanam dan dibuat perladangan felda dan sebagainya.
Banyak lagi perkara yang perlu kita kaji dan kita hargai apa yang baik dilakukan olih yang memimpin tak kiralah pemimpin besar dan terkenal dan pemimpimpin kecil diperkampungan . Mencegah yang buruk dari berlaku adalah tugas dan amanah setiap individu yang mahukan kebaikan berlaku pada dirinya dan dipanjangkan kepada insan insan yang menjadi ummah sesebuah negara. Kita sanjung kita junjung pemimpin yang menyampaikan amanah untuk memakmurkan bumi yang kita sama-sama pijak .
Kalau kita rasa kita dah bijak ,tentulah yang nak memimpin mesti lebih lagi bijak, kalau tak orang tak nampak , jadi pemimpin berbisa tapak, tempat yang licin pun bolih menapak .Pemimpin yang beralas ikhlas ,mati bertahun namanya berbekas ,jernih dan jelas.

Friday, July 27, 2007

Negarawan Agung-menjelang 50 tahun Kemerdekaan


Masa kecil aku sudah mengenali negarawan ini dia datang kesekolah aku yang jauh terpencil dan ditinggal arus pembangunan yang baru saja mau menapak , daerah kota setar ,Kota setar ini juga telah menjadi kenangan pahit bagi negarawan sanjungan ini .Disini dia kalah tercatat dalam sejarah, kalah pada lawanya dari partai PAS .Allahyarham Yusuf Rawa. Sebagai anak yang masih belajar dalam sekolah rendah di kampung yang pada musim hujan terpaksa angkat kasut untuk berjalan lebih mudah, dan kasut akan terselamat dari palitan selut atau lumpur tanah merah yang menjadi jalan penyambung antara kampung dan pekan kecil Pendang yang terletak kira 8 km jaraknya dari kampung aku. Kampung Bukit Jambul , walau terpencil tapi ujudnya bolih dibanggakan kerana terdapat sekolah yang dibina mungkin sebelum merdeka .Zaman belajar menggunakan papan batu sebagai alat untuk menulis dan mengenali huruf.
Dr. Mahathir dah punya nama dan dikenali disegenap peringkat dikawasan ini , Tuan Syed Ibrahim adalah ahli dewan undangan negeri kawasan Pendang dan aku pernah di bawa ayah kerumahnya , masih aku ingat Tuan Syed Ibrahim suka makan pinang dan sireh .Dr. Mahathir bukan sahaja pernah datang kesekolah aku di Kg .Bukit Jambul tapi pernah juga aku mengikuti ceramahnya ketika aku dibawa ayah untuk mendengar
ceramah dalam salah satu kempen pilihan raya , ketika itu isu Singapura mau keluar dari Malaysia adalah menjadi topik hangat , kerana aku mendengar seorang dari kalangan penduduk kampung aku yang bangun dan bertanya Dr.Mahathir mengenai pemisahan Singapura dari Malaysia .Ceramah yang di adakan dirumah Ustaz Baharum yang juga mengajar di sekolah kebangsaan Bukit Jambul .Ustaz Baharum juga jiran terdekat keluarga kami .
Masih lagi aku ingat Dr.Siti Hasmah yang bersama mengikuti Dr.Mahathir dalam ceramah itu di hidangkan kopi kampung dan biskut kering yang terkenal pada waktu itu
"roti kapai" berbentuk bulat lemak dan ranggup minum dengan kopi "0" . Lepas minum kopi yang hitam pekat itu jangan lupa sapu gigi dengan tuala atau saputangan ,kalau tidak serbuk kopi akan tertinggal dicelah gigi.Dalam kampung yang masih lagi menggunakan pelita minyak tanah dan lampu gassolin yang menerangi kegelapan kampung kalau ada acara sambutan tertentu .
Kepetahan Dr.Mahathir dalam berpidato dan membangkitkan semangat perjuangan kepada petani yang menjadi tulang belakang pada perjuangan UMNO waktu itu sangatlah di kagumi . Banyak lagi cerita dari orang kampung yang pernah berkunjung ke keliniknya di Alor Setar yang pernah aku dengar . Ada lagi cerita yang menarik dan berharga yang pernah aku dengar .antaranya... sambung akan datang....