












Kesempatan berhariraya korban di Prek Sandai buat kali kedua berada bersama dengan penduduknya begitu terasa, kemesraan yang ikhlas dari saudara seagama yang ,walaupun berada dalam serba kekurangan namun mereka tetap mesra dan ramah menyambut tamu .
Melihat keriangan anak kecil dan remaja yang sentiasa riang dengan pakaian serba baru berlari kesana kemari seolah mereka sudah tida apa yang dirisaukan tentang kehidupan yang dilalui.
Mungkin ibu-bapa mereka sahaja yang sentiasa mempersoalkan tentang pelajaran anak-anak dan perlakuan mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih dari kehidupan yang mereka alami sekarang ini. Hidup sebagai petani dan nelayan sungai Mekong yang tidak pernah menjanjikan keselesaan dan kesenangan buat mereka selama ini. Apakah anak-anak mereka akan meneruskan tradisi lapuk ,warisan generasi ini.
Setiap mereka di Prek Sandai dan di tempat lain di Kemboja ,Islam adalah agama yang dianuti berkurun lamanya .Pegangan mereka tetap kukuh seperti dulu, walaupun sentiasa dicabar dan bayangi olih berbagai peristiwa hitam yang mereka lalui .
Sejarah telah tertulis bahawa Prek Sandai dan kampung sekitarnya telah kehilangan ahli keluarga yang bergelar ulamak ustaz dan cerdik pandai dikalangan mereka . Lebih empat ratus orang dari mereka telah dibunuh secara kejam semasa Pol Pot memegang pemerintahan selama lebih dari tiga tahun.Mereka hidup dibawah ancaman , sembahyang tidak dibenarkan , mereka dipaksa makan bubur nasi yang bercampur daging babi sekurangnya seminggu sekali pada zaman itu.
Sekarang ini mereka berusaha sedaya upaya untuk memulihkan kekuatan yang telah lama meninggalkan mereka , mereka berhijrah keluar untuk mencari Ilmu dan rezeki dan balik ke tempat asal mereka mendirikan sekolah ,surau dan masjid ,menyebarkan Ilmu Islam secara kecil-kecilan .
Ada usaha mereka ini dibiayai olih penduduk tempatan ,namun berapalah sangat bantuan yang diterima . Ada dikalangan ustaz yang membuka sekolah ini terpaksa bekerja tanpa memikirkan soal gaji .Selepas mengajar mereka akan kesawah atau membuat kerja lain untuk menyara anak isteri .
Mungkin ada lagi cerita yang tak pernah diceritakan tapi tersimpan dalam catitan penduduknya yang sentiasa memberi senyuman ini.