Saturday, September 13, 2008

Sumbangsih Ramadhan .




Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini saya telah menerima satu sms dari Datuk Dr.Abd.Razak meminta sumbangan zakat dari saudara yang masih lagi belum menunaikannya supaya menunaikan melalui Majlis Agama Islam Perlis (MAIP).
Pembayaran zakat saudara juga sebahagiannya akan dapat menolong Progaram Dakwah yang akan dibuat olih Datuk Dr. Razak .
Dr. Razak telah lebih dua puluh tahun menjalankan kegiatan dakwah dikalangan masyarakat orang Asli, selama itu juga beliau mendapat sokongan dan bantuan dari berbagai pihak , sama ada bantuan dari individu , syarikat perniagaan dan pihak jabatan Agama Islam untuk membiayai berbagai kegiatan dalam membantu masyarakat orang Asli mengenali dan memahami Islam .
Diantara kegiatan yang telah dilaksanakan ialah mendirikan sebuah kilang untuk kegiatan ekonomi ,dan membina satu unit janakuasa pembekal elektrik berasaskan air terjun ,seperti di kampung Tuel didaerah Gua musang, Kelantan .
Banyak lagi projek yang telah dirancang untuk membantu masyarakat orang Asli ini untuk memnyediakan mereka agar lebih berdikari dan mendalami ilmu Islam supaya mereka tidak tersisih dan tertinggal , walaupun mereka berada di pendalaman .
Untuk mendapat keterangan lanjut mengenai sumbangan yang akan dibuat,sila berhubung terus dengan Datuk Dr. Razak melalui Talian +60135840070. Semuga Allah memberi keberkatan atas usaha saudara muslimin dan muslimat untuk membantu saudara kita yang masih lagi memerlukan. Terima Kasih.

Saturday, August 30, 2008

Mensyukuri nikmat dibumi MERDEKA.




Menghormati dan menghargai kemerdekaan ,setelah lima puluh satu tahun bernaung dibawah kibaran bendera kebebasan dibumi merdeka ini, renungkan dengan penuh kesedaran dan keinsafan jangan dinafikan kita menikmati berbagai kemajuan dan kejayaan dalam berbagai bidang yang telah dibagunkan olih pemimpin serta pejuang sejak sebelum dan selepas merdeka .


Sebelum merdeka ,para pemimpin dan pejuang kemerdekaan yang terdiri dari bapa-bapa kita datok -nenek kita menghallalkan jiwa dan raga ,maupun harta benda demi anak cucunya yang mewarisi bumi merdeka ini akan dimakmurkan dengan saksama atas dasar keadilan untuk semua .


Alhamdulillah , pemimpin yang diamanahkan berkerja berpakat bertolak ansur , maka kita menikmati hasil usaha yang diamanahkan itu ,kita dan anak-anak dapat melalui jalan yang bersimpang siur di kota dan didesa terpencil seadanya. Sekolah masjid , kuil dan gereja ada dimana -mana , anak kita petah menggunakan berbagai bahasa ,bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan mahir belaka ,mengenali dan menghormati adat dan budaya yang berbeza.


Kalaulah pemimpin kita leka dan alpa pada waktu itu ,mungkin hari ini tak ada gagasan FELDA dan FELCRA, dengan harga yang baik sekarang ini sepatutnyalah kita mengingati Allahyarham Tun Razak dan pemimpin yang sama berusaha mungujudkan tanah rancangan waktu itu, dan kepada peneroka yang gigih bertungkus lumus menanam getah dan kelapa sawit , tak pernahpun mereka mimpikan harga sawit dan getah akan menonjolkan ekonomi negara kepersada dunia.


Kita yang mencapai umur lima puluhan ini ,patut bersyukur ,tanyalah diri sendiri kalau kita anak petani atau anak nelayan mungkin peluang untuk mendapatkan pelajaran yang baik dan berjaya mengubah kehidupan keluarga terbantut kalau sekiranya tidak ada polisi bertolak ansur diantara kaum dan keutamaan memberikan pelajaran pada rakyat yang kurang mampu diutamakan .


Petani yang dulunya hanya menanam padi sekali setahun sudah berupaya mengubah kehidupan walaupun sedikit demi sedikit tetapi perubahan berlaku dengan adanya sistem pengaliran air yang tersusun, cumanya ianya perlu diperluaskan lagi . Sistem yang ada juga perlu diperbesarkan lagi supaya hasil pendapatan bertambah .


Pembukaan tanah baru untuk pertanian juga perlu diperluaskan supaya petani generasi baru akan lahir dan mempunyai tanah . tidak lagi bergantung pada tanah keluarga atau harta pusaka .


Banyak lagi nikmat kemerdekaan dibumi bertuah ini kalau mau ditulis sudah tak cukup buku , Mengingati perngorbanan para pejuang kemerdekaan adalah juga menginsafi diri kita apakah sumbangan kita terhadap pengisian jiwa yang berilmu dan dimanafaatkan sebagai pewaris yang meneruskan kesinambungan hasrat baik pejuang yang telah tua atau pun telah lama meninggalkan kita dibumi yang merdeka ini.


Salam kemerdekaan untuk semua , dan Al-Fatihah untuk semua pejuang kemerdekaan negara yang telah kembali kerahmatullah , semuga roh mereka dirahmati .MERDEKA.

Monday, August 18, 2008

Nazri dan HS NADA..







Nazri telah berjaya dalam usahanya dibidang penternakan lembu secara (feedlot). Sejak mengambil alih perniagaan dari bapanya En. Hassan , perniagaan menjual daging tempatan secara kecilan sudah kukuh dan berkembang .

Kini Nazri yang membuka kandang diatas tanah yang berhampiran tempat tinggal adiknya Azmi . Disini juga didirikan rumah sembelihan , rumah untuk pekerjanya dan satu asrama yang lengkap untuk kegunaan pelajar yang datang untuk mengikuti kursus penternakan lembu secara feedlot.Semuanya berhampiran dengan rumah kediaman tetapi tidak mendatangkan bauan yang tak enak ketika saya menjadi seorang pelajar disana.

Semua dirancang mengikut susunan atau sistem , jadi tempat yang kecil pun tidak mendatangkan keburukan pada jiran tetangga .

Kandang yang sentiasa dipenuhi lembu yang bakal menjadi daging itu , sekurangnya akan dimuatkan lebih kurang 30 ekor atau lebih untuk satu minggu bekalan.

Daging segar ini akan dibawa ketempat jualan harian di Selayang, Shah Alam dan juga Taman Melawati mengikut jadual .

Pusat jualan harian di Selayang dilengkapi dengan berbagai peralatan untuk memperoses daging kepada berbagai-bagai keluaran yang berasaskan daging .Bebola daging , daging yang diasingkan atau dipotong dibahagian tertentu mengikut saiz dijual dengan harga yang berbeza kerana ada bahagian tertentu dari seekor lembu digunakan untuk masakan yang berlainan .

Melihat kegigihan Nazri dan keluarganya bersatu hati, memperluaskan perniagaan asal bapanya sungguh tertarik mata memandang dan bersemangat pada sesiapa sahaja yang ingin menceburkan diri kedalam perniagaan ini .

Nazri dan keluarganya juga sanggup berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja untuk menjana perniagaan yang berpotensi ini.



Monday, August 11, 2008

Berbagai gaya di Saddar Bazar, Old Delhi .




Kawasan Saddar Bazar di Old Delhi begitu sesak di waktu pagi , berbagai rupa dan kerenah manusia yang sibuk mencari rezeki .Bermacam-macam bunyi boleh didengari dalam sesak dan sibuk ini.


Suara penjual yang menjerit menawarkan barangan jualan , bunyi honk dari kenderaan yang berbagai jenis , jeritan lembu yang berkeliaran di lunggukkan sampah ditepi jalan , jeritan kuda dan kaldai yang memprotest beratnya muatan yang akan dibawa berjalan.


Pemandangan begini mungkin tak terdapat ditempat lain tapi disini apa yang sukar di tempat lain mungkin akan ada di tempat yang padat dengan manusia ini . Berbagai gaya dan cara untuk membina kehidupan.


Begitulah Saddar Bazar di satu pagi dalam tahun 1998.

Friday, August 8, 2008

Paya Mat Insun .




Paya Mat insun , perkampungan Melayu dan Siam, tak jauh dari pekan Pendang.Penduduk disini bergantung pada padi dan getah sebagai sumber pendapatan .Subur tanahnya pelbagai tanaman lain terdapat juga selain padi dan getah ada juga penduduk disini berkebun sayuran dan dusun ,


Jadi datanglah ke sini waktu durian jatuh, jangan datang waktu buah getah luruh .Sepanjang perjalanan kita akan lihat sawah padi dan bukit bukau yang sungguh menarik, buat pelawat atau tamu yang suka pada keindahan , kehijauan selain dari udara yang bersih , kalau tak musim kemarau .


Mat Insun ini unik . Kalau kita ambil yang baik dari sudut pergaulan orang Melayu dan orang Siam .


Satu ketika dulu sekitar enam puluhan , saya selalu menggunakan satu-satunya khidmat pengangkutan bas yang berulang alik dari Pendang Ke Sungai Tiang . Kalau tak salah saya orang kampung panggil Bas - Mara . Maklumlah terlalu lama.Dalam bas kalau kita berdiri , sebab bagi laluan pada orang tua yang perlu duduk . Bas pun tak panjang ,macam bas Mini Kat Kuala lumpur satu ketika dulu .Dalam bas kalau hari sabtu akan penuh dan bersesak dengan barangan


keperluan dan orangnya sekali. jadi berimpit lah dalam bas itu yang mengharungi jalan yang masih lagi tak secantik dan sebaik sekarang .Dalam Bas yang sesak ini , terdengarlah cerita dari percakapan dan bahasa yang digunakan bahasa daerah bunyinya lain dari yang bahasa selalu digunakan dalam loghat Kedah , Loghat Kedah yang ini lain dari yang lain banyak lenggok Siam dari Melayunya . dan ada diantaranya bertutur dalam bahasa Siam walaupun ada diantaranya Melayu yang bersongkok putih .Jadi cakaplah apa pun buat tak faham saja , sebab memang tak faham pun. Itulah keunikan kita akibat dari hubungan sosial yang terjalin diantara penduduk Melayu dan Siam didaerah ini .Hubungan yang berlandaskan hormat menghormati dan bertolak ansur .


Apabila bas sampai di Padang Pusing, berduyunlah penumpang dari Padang Pusing dan kampung sekitarnya akan turun , termasuklah penumpang dari Paya Mat Insun yang terletak agak kedalam sikit dari padang Pusing ini .


Sekarang kalau kita melalui laluan yang sama menaiki bas yang sudah besar dan cantik, sudah tidak berasakkan seperti tiga puluh tahun dulu. Percakapan dan pertuturan juga kedengaran sudah tidak sekuat dulu ,Kepekatan bahasa Melayunya sudah tidak bunyi dan mirip bahasa Siam lagi .


Paya Mat Insun walaupun letaknya jauh dari jalan raya tapi sudah ada semua yang dimiliki orang yang tinggal di bandar , malah mereka berbangga kerana tempat ibadat mereka atau Biara sudah besar dan cantik setanding dengan Biara di tempat lain .


Mereka sudah bangga menjadi warga Mat Insun di bumi merdeka .




Tuesday, July 22, 2008

Belantara nyaman dan anak-anak keriangan .





Kenakalan , kemesraan ,keriangan tak akan mudah luput dari zaman kanak-kanak tak kiralah walau di mana mereka berada , mereka tetap riang dan bermain walaupun di belantara ,berbeza dengan anak-anak yang lahir dibandar maupun perkampungan yang tersusun .
Anak-anak suku Temuan yang cekal dan tabah ini tak kalah dengan apa yang ada ,mereka tetap riang di belantara Gua Musang yang menjadi tempat tumpah darah mereka , Ada sekolah ada kemudahan yang diberikan dan dalam serba kekurangan kerana bapa-bapa mereka mengharapkan pada harga keledek dan kerja-kerja dari pembalakan yang berhampiran untuk menyambung kehidupan selain dari hasil buah-buahan yang bermusim yang dibawa ke pekan Gua Musang atau ada peraih yang singgah untuk membeli dari mereka.


Di belantara ini , Kelede, Ubi Kayu adalah makanan utama selain dari beras sekali sekala .


Mereka tinggal jauh di pendalaman ,sakit demam pun selagi dapat bertahan mereka akan berubat dengan apa yang ada dulu dari tumbuhan daun dan akar sekeliling perkampungan , melainkan ada sakit yang tak mampu di tanggung seperti sakit untuk berasalin , mereka akan dihantar keluar ke hospital yang ada di bandar , kadang menggunakan helikopter yang biayanya di tanggung olih kerajaan .


Melihat kenakalan anak-anak ini dan keseronokan mereka bermain air sungai yang mengalir deras dan mencari anak ikan kelah ,labi dan kucing hutan menunjukkan betapa alam yang bersih dan jernih dari belantara ini begitu akrab dan sebati dengan mereka .


Apakah kita yang malang, jauh dari mereka ,tidak pernah longgar dari kesibukan dan haru-biru kota batu ,kegemerlapan malam yang celaru lalu fikiran buntu, hidup antara malu dan tersipu, dan apakah hijrah dari hutan batu akan ada ketenangan .

Sunday, July 13, 2008

Nepal , Kehidupan ala- Kadar .




Nepal masih lagi ketinggalan dalam arus pembangunan ,rata-rata penduduknya di himpit olih kemiskinan.


Kalau kita melawat dan memasukki perkampungan , kita akan lihat dengan jelas bahawa penduduknya adalah bergantung pada hasil pertanian , dan pembangunan adalah sekadar untuk membolihkan rakyat nya meneruskan kehidupan , air bersih untuk minum dan mandi-manda masih lagi bergantung pada sungai yang ujud sejak sekian lama .


Teringat saya ketika melewati satu jalan diwaktu pagi saya lihat ramai orang berkumpul pada satu pasar pagi ,saya mengintai-ngintai untuk melihat apakah yang menjadi tumpauan orang ramai di tempat itu ..tersentak seketika saya apabila mendapati orang ramai yang berkumpul itu hanyalah berkongsi membaca berita yang disiarkan olih akhbar tempatan yang baru saja dibentangkan untuk jualan olih peniaga akhbar , minat membaca memang tinggi tapi minat membeli adalah rendah .


Hidup dalam serba kekurangan akan melahirkan manusia yang kreatif ini menjadi kenyataan didepan mata apabila saya melalui sebatang jalan yang agak sunyi dimana ada tempat lapang yang digunakan untuk beriadah , tidak pelik bagi anak-anak yang kreatif ini menggunakan masa lapang dengan bermain ping-pong yang hanya menggunakan meja dan menyusun batu bata sebagai nettingnya, permainan diteruskan walaupun tak punya peralatan dan kelengkapan yang mencukupi . Teringatlah saya semasa zaman kanak-kanak bermain RANDAS menggunakan sebiji bola dan kayu yang penggodam yang dikutip dari belukar .


Tak nampak langsung kelibat masjid atau Musalla di Nepal ini mungkin saya tak sampai atau terjauh kedudukan darinya , berpuasa disini hanya berpandukan kedudukan matahari , walaupun ada juga penduduknya beragama Islam dan sempat saya diajak berbuka dirumah sewanya kerana beliau yang di temui berasal dari India dan berniaga di Nepal sebagai sumber rezekinya .